
KANAK-KANAK yang ibunya menerima vitamin D tambahan semasa mengandung mempunyai tulang yang lebih kuat pada usia tujuh tahun, menurut kajian terbaru.
Imbasan ketumpatan tulang yang dijalankan dalam kajian yang dibuat oleh Universiti Southampton dan Hospital Universiti Southampton (UHS) menunjukkan tulang mereka mengandungi lebih banyak kalsium dan mineral sehingga menjadikannya lebih kuat dan kurang berisiko untuk patah.
Para penyelidik mengatakan penemuan itu yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition mengukuhkan kepentingan penggunaan suplemen vitamin D semasa kehamilan sebagai strategi kesihatan awam.
BACA LAGI: Atasi 32 peserta lain, wanita Melaka usia 41 tahun dinobat pelatih terbaik kursus bomba paling sukar
Ibu mengandung yang menerima vitamin D tambahan mempunyai tulang yang lebih kuat pada anak mencecah usia tujuh tahun. — Gambar Hiasan
Pensyarah klinikal dalam bidang kesihatan kanak-kanak di Universiti Southampton, Dr. Rebecca Moon berkata, penemuan mereka menunjukan bahawa bermanfaat mengambil vitamin D semasa kehamilan secara berterusan hingga ke usia pertengahan kanak-kanak.
“Intervensi awal ini merupakan satu strategi kesihatan awam yang penting. Ia menguatkan tulang kanak-kanak dan mengurangkan risiko keadaan seperti osteoporosis dan patah tulang di kemudian hari," katanya.
Vitamin D berperanan dalam mengatur jumlah kalsium dan fosfat dalam badan iaitu mineral yang penting untuk kesihatan tulang, gigi dan otot.
Pada 2009, para penyelidik melancarkan kajian Mavidos (Maternal vitamin D osteoporosis) yang melibatkan lebih daripada 1,000 wanita dari Southampton, Oxford dan Sheffield.
Semasa kehamilan mereka, wanita-wanita tersebut dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan mengambil tambahan 1,000 unit antarabangsa vitamin D setiap hari, manakala kumpulan yang satu lagi mengambil pil plasebo.
Wanita hamil, serta doktor dan bidan yang merawat mereka tidak mengetahui jenis kumpulan yang mereka sertai.
Kajian terdahulu menilai kesihatan tulang kanak-kanak pada usia empat tahun dan hasilnya menunjukkan bahawa jisim tulang lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang mengambil suplemen vitamin D semasa kehamilan berbanding yang tidak.
Dalam kajian terbaharu, penyelidik membuat susulan dengan 454 kanak-kanak berumur enam dan tujuh tahun dari kawasan Southampton untuk melihat sama ada kesan pada kesihatan tulang berterusan sepanjang zaman kanak-kanak pertengahan.
"Keputusan kajian ini mengesahkan bahawa kesan positif terhadap tulang kanak-kanak adalah serupa pada usia empat tahun dan enam hingga tujuh tahun," kata jurucakap Universiti Southampton. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram