MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa pengusaha hotel untuk menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar hotel bagi memastikan pelanggan menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Menerusi hantaran di Facebook, Tiong King Sing berkata, beliau akan membantu mengadakan rundingan dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri bagi menangani masalah kekurangan pekerja yang membantu dalam memenuhi keperluan masa penginapan pelanggan.
"Penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara.
"Sebagai contoh, pelanggan mendaftar masuk pada pukul 2 petang dan keluar pada tengah hari keesokan harinya atau selewat-lewatnya pada pukul 1 tengah hari.
"Ini merupakan perkara biasa dan tidak menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan," katanya.
BACA LAGI: ‘Kaki runner' Singapura, peserta OKU antara 6,600 peserta International Songket Run 4.0 di Shah Alam
BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi waktu ‘check-in’, ‘check-out’ hotel kini dalam pemerhatian Motac
Motac akan menyelesaikan isu pelanggan daftar masuk hotel lambat tetapi perlu keluar awal.
Tiong berkata, dengan mengambil inisiatif sebegitu, keuntungan akan diperoleh bagi kedua-dua pihak iaitu pihak hotel dan juga pelanggan.
"Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan meraih keuntungan dengan lebih banyak.
"Namun, perkara itu bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata kerana pelanggan juga mahu merasakan wang yang dibelanjakan itu berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima," katanya.
Jika gagal bertindak sedemikian, Tiong berkata, pelanggan akan berasa kurang berpuas hati dengan pengalaman penginapan yang ditawarkan.
"Ini memberi gambaran jelas bahawa pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukannya kualiti perkhidmatan," katanya.
Tiong turut berkata, beliau akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian berhubungan kesulitan industri perhotelan mengambil pekerja asing.
Perkara itu dibuat susulan terdapat pengusaha hotel yang menyuarakan kebimbangan untuk melanjutkan tempoh penginapan yang dianggap bakal melambatkan tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik.
“Perkara yang akan dibincangkan termasuk memberi kemudahan kepada pengusaha hotel untuk mengambil pekerja asing secara terus tanpa melalui perantara," katanya.
Selain itu, Tiong menjelaskan bahawa beliau telah mengarahkan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk membantunya mewujudkan kursus yang menyediakan latihan pembersihan dan pengemasan bilik hotel.
"Orang yang terlibat akan menerima sijil setelah tamat latihan. Ini sekaligus dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan kerja di hotel selain meningkatkan imej profesional pelancongan Malaysia." katanya.
Sebelum ini, tular di laman X mengenai seorang pengguna, Siti Awe yang tidak berpuas hati apabila baru sahaja mendaftar masuk hotel pada pukul 3 petang tetap perlu mendaftar keluar pada pukul 11 pagi.
"Sesetengah hotel perlu check out pukul 11 pagi. Dahlah masuk pukul 3 petang. Berbanding suruh pelanggan keluar awak kenapa tak hire lebih ramai cleaner," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram