SEORANG lelaki dibunuh dalam keadaan menyayat hati pada Ahad selepas enam hari memegang jawatan sebagai datuk bandar di Chilpancingo, Guerrero, selatan Mexico.
Lelaki itu, Alejandro Arcos dipancung dan kepalanya ditemui di atas sebuah trak pikap.
"Pemergiannya telah menyebabkan seluruh masyarakat Guerrero berkabung dan membangkitkan kemarahan yang membara," ciap Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado di laman X.
BACA LAGI: [VIDEO] Siswa Labah-Labah daki secara merangkak, anak jati Kuching buktikan OKU mampu tawan Everest
Pengesahan rasmi mengenai pembunuhan Datuk Bandar itu dibuat selepas gambar kepala mangsa yang terputus tersebar di aplikasi WhatsApp.
Senator tempatan, Alejandro Moreno berkata, kematian Arcos berlaku selepas tiga hari setiausaha kerajaan baharu bandar, Francisco Tapia ditembak mati.
“Mereka adalah pegawai muda dan jujur yang mahukan kemajuan untuk komuniti mereka,” katanya.
Ketua parti politik PRI Mexico, Moreno meminta pejabat peguam negara persekutuan untuk mengetuai siasatan ke atas pembunuhan Arcos dan Tapia memandangkan situasi berada dalam keadaan tidak terkawal di Guerrero.
Kini, pejabat peguam negara memaklumkan bahawa kes pembunuhan itu berada dalam siasatan pihak berkuasa.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya enam calon untuk jawatan awam telah terbunuh di negeri itu menjelang pilihan raya umum Mexico pada 2 Jun 2024. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram