[VIDEO] Lakar sejarah jadi Panglima Tentera wanita pertama, Rose King terima persembahan haka


  • Benua
  • Sabtu, 31 Ogos 2024

Rose King (tengah) sudah memikul peranan sebagai penaung Panglima Tentera New Zealand sejak Jun lalu. — Agensi

SEJARAH baharu terlakar dalam dunia ketenteraan New Zealand selepas Brigedier Rose King dilantik sebagai Panglima Tentera (Chief of Army) baharu berkuat kuasa Jun lalu.

Dia yang menyertai pasukan ketenteraan di negara itu sejak 1991 diangkat sebagai Mejar Jeneral selepas memegang jawatan Brigedier tiga tahun lalu, iaitu semasa pandemik Covid-19.

Jadi, bagi meraikan pelantikan tersebut, beberapa anggota tertinggi Tentera New Zealand melakukan persembahan haka yang merupakan tarian tradisi di negara itu.

BACA LAGI: Bekas Panglima ATM kongsi strategi tukar 'warna biru' di Parlimen Kemaman

BACA LAGI: TDM gantung operasi helikopter Agusta A109 LOH

Dalam satu video dimuat naik di Facebook New Zealand Army pada Rabu, persembahan itu dibuat di hadapan Rose King yang jelas kelihatan terharu dan sebak dengan sambutan tersebut.

"Tanda penghargaan buat Panglima Tentera Mejar Jeneral Rose King dalam acara pelantikan pada tengahari Rabu. Tarian haka ini dipersembahkan Ngati Tumataunega (perkataan Maori bagi Angkatan Tentera New Zealand)," tulisnya.

Meskipun sudah memegang jawatan berkenaan untuk kira-kira tiga bulan, Rose King diraikan dalam satu sambutan kecil-kecilan dengan beberapa pegawai tentera Angkatan Tentera New Zealand hadir yang membolehkan tarian haka dipersembahkan buatnya.

Persembahan itu diadakan di ibu pejabat Pasukan Pertahanan New Zealand yang terletak di ibu negara mereka, Wellington melibatkan beberapa pegawai lelaki dan wanita.

FILE PHOTO: Rugby Union - New Zealand v South Africa - World Cup warm-up - Twickenham Stadium, London, Britain - August 25, 2023 New Zealand players perform the haka before the match Action Images via Reuters/Matthew Childs/File Photo

Tarian haka cukup sinonim dengan skuad All Blacks yang amat digeruni. Agensi

Tarian haka sememangnya terkenal di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan peminat sukan ragbi kerana skuad ragbi kebangsaan New Zealand, All Black akan mempersembahkannya sebelum setiap perlawanan.

Ia merupakan tradisi bagi kaum Maori yang merupakan kaum majoriti di negara tersebut dengan ia sering dipersembahkan dalam pelbagai jenis ritual, termasuk tanda penghargaan buat seseorang tetamu.

Selain menghentakkan kaki, mereka yang terlibat dalam tarian haka sering memaparkan ekspresi bengis memandangkan tarian berkenaan turut dipersembahkan dengan tujuan menakutkan musuh.

Pelantikan Rose King sebagai Panglima Tentera New Zealand sudah tentu dapat membuka lembaran baharu dalam unit beruniform di negara itu kerana ia memadam diskriminasi seksual, terutamanya dalam dunia ketenteraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram