
RANGKA dinosaur paling besar yang pernah ditemukan kini memecah rekod jualan tertinggi pada harga AS$44.6 juta (RM208.05 juta) dalam satu acara lelongan Sotheby's di New York, Amerika Syarikat.
Rangka stegosaurus yang digelar Apex itu difahamkan hidup di antara 146 hingga 161 juta tahun yang lepas.
Pusat lelong, Sotheby's berkata, Apex dikatakan antara rangka paling lengkap pernah ditemukan selain paling terpelihara dari sudut saiznya.
BACA LAGI: Jangan buat aktiviti lasak, makan 3-4 jam sebelum tidur jika sayangkan usus, nasihat pakar
Tambahnya lagi, Apex ditemukan pada Mei 2022 di tanah persendirian milik ahli paleontologi Jason Cooper.
Ia memiliki ketinggian 3.4 meter (m) dan sepanjang 27 kaki (kira-kira 8.3 m) dengan 254 unsur tulang fosil daripada jumlah anggaran 319 tulang.
"Sotheby's menjangkakan Apex akan terjual antara AS$4 juta (RM19 juta) hingga AS$6 juta (RM28 juta), tetapi harganya dengan cepat melonjak apabila pembida telefon membanjiri jualan itu," katanya.
Sotheby's berkata, mereka bekerjasama dengan Cooper untuk mendokumentasikan keseluruhan proses daripada mulanya penemuan dan penggalian kepada pemulihan, penyediaan dan pemasangan untuk menjamin kualiti dan ketelusan yang tinggi.
Pada 2022, syarikat lelong, Christie's terpaksa menarik balik satu rangka T-rex beberapa hari sebelum dilelong di Hong Kong kerana keraguan tentang keasliannya.
Untuk rekod, rangka stegosaurus itu sudah dipamerkan di seluruh dunia.
Spesimen itu bagaimanapun tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan berkaitan pergaduhan atau bukti pembedahan bedah siasat selain mempamerkan beberapa patologi yang menarik.
Ia telah dipelihara dalam batu pasir keras yang melindungi tulang daripada herot atau senget.
Media antarabangsa The Guardian pula melaporkan Apex ialah tarikan lelongan sejarah semula jadi Sotheby termasuk artifak lain seperti meteorit, mineral, gogot (formasi yang terbentuk secara semula jadi daripada kristal kuarza dan kalsium karbonat) dan buat kali pertama mempamerkan barangan pada zaman Paleolitik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram