Alumni Victoria Institution KL dijangka jadi Presiden Indonesia ke-8


  • Benua
  • Khamis, 15 Feb 2024

Prabowo (kiri) berucap kepada penyokong selepas pengundian ditutup pada pilihan raya presiden dan perundangan negara itu di Jakarta pada Rabu. — AFP

SEORANG alumni kolej berprestij di Kuala Lumpur, Victoria Institution (VI), Prabowo Subianto dijangka bakal menjadi presiden kelapan Indonesia.

Berdasarkan kedudukan semasa kiraan undi pilihan raya presiden Indonesia pada Rabu, beliau mendahului dengan lebih 58 peratus undian berbanding dua pesaingnya.

Pesaingnya, bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan, dan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, masing-masing meraih undian kira-kira 25 peratus dan 17 peratus.

Prabowo, 72, yang juga Presiden parti Gerindra, pernah belajar di VI di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur dari 1962 hingga 1964.

Dalam lawatan rasmi ke Malaysia sebagai Menteri Pertahanan pada November 2019, Prabowo berkata, ia seperti pulang ke rumah.

"Ia seperti pulang ke kampung bagi saya. Kuala Lumpur mengingatkan saya pada zaman muda saya di mana saya bersekolah dan dibesarkan di sini," kata Menteri Pertahanan Indonesia ketika itu.

BACA LAGI: Ketahui 4 keadaan boleh akibatkan pembuluh darah pecah dan cara cegah

Indonesia's Defence Minister and presidential candidate Prabowo Subianto greets his supporters in Jakarta, Indonesia February 14, 2024. REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana

Prabowo Subianto menyambut baik warga tempatan yang datang mengundi.

Mendiang bapa Prabowo, Sumitro Djojohadikusumo, pernah memegang jawatan menteri di bawah pentadbiran Presiden Sukarno dan Presiden Suharto antara 1950 dan 1978.

Sumitro berada dalam buangan politik ekoran timbul perbezaan dengan Presiden Sukarno pada 1960-an dan berada di Singapura, Malaysia, Thailand, Switzerland, dan Britain.

Ibu Prabowo pula ialah mendiang Dora Maria Sigar, seorang yang beragama Kristian berketurunan Minahasa dari Sulawesi.

Bekas jeneral tiga bintang itu pernah berkahwin dengan Cik Titiek Suharto, anak perempuan kedua Presiden Suharto.

Pasangan itu telah bercerai dan mempunyai seorang anak lelaki, Didit Hediprasetyo, seorang pereka fesyen yang tinggal di Paris dan Jakarta.

Sebelum ini, pada 2022, Probowo Subianto dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) Kehormat yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), Kompleks Seri Negeri, Melaka

Dalam satu catatan Instagram, beliau mengucapkan terima kasih kepada Tun Mohd Ali atas penganugerahan itu. — TheStar/Philip Golingai

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram