[VIDEO] Tak lepas nak belok, penumpang tercampak keluar dari but kereta di Kok Lanas


  • Tular
  • Selasa, 07 Nov 2023

Tangkap layar kejadian seorang penumpang tercampak keluar dari kenderaan dinaiki di Kok Lanas pada Isnin.

SEORANG penumpang tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kampung Sokor Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Kejadian yang tular sejak Selasa itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis yang berada berhampiran kejadian kemalangan yang berlaku di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Rakaman menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang berada di laluan sebelah kiri cuba memotong dengan memasuki laluan kanan yang ketika itu berhenti di lampu isyarat merah.

Pada masa sama, rakaman memaparkan kenderaan lain yang berada di laluan kereta terbabit sedang bergerak secara perlahan.

Namun, kereta Kancil itu tetap bertindak meneruskan perjalanannya dengan ia dilihat mahu membelok ke arah kanan jalan sedangkan pada masa kejadian, kenderaan dari arah bertentangan sedang bergerak kerana lampu hijau.

Tindakannya itu mengakibatkan kenderaan di laluan bertentangan tidak sempat untuk mengelak dan melanggar kereta Kancil terbabit.

Malah, pelanggaran yang kuat mengakibatkan seorang penumpang yang berada di kerusi belakang terus tercampak keluar dari kereta itu menerusi pintu but kereta.

Pemandu kereta Kancil yang panik terus bertindak keluar dari keretanya bagi memeriksa keadaan penumpang yang terjatuh.

Turut dilihat, beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian cuba memeriksa keadaan mangsa.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet geram dengan tindakan pemandu kereta Kancil itu yang memandu secara bahaya.

"Apalah, pemandu kereta kancil memandu macam itu, kasihan orang lain jadi mangsa," kata Ara Auni.

"Apalah bertindak macam itu," kata Yuyun.Aisyah.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung isu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram