[VIDEO] Jakarta di hujung tanduk, keputusan pindah ibu negara tepat


  • Benua
  • Isnin, 22 Jan 2024

Keadaan kawasan Jakarta yang didakwa bakal tenggelam lebih cepat pada 2024.

MELIHAT keadaan paras tanah semakin merosot dan membimbangkan, beberapa kawasan di Jakarta, ibu negara Indonesia diramal bakal tenggelam tidak lama lagi.

Sebenarnya, ia bukanlah ramalan pertama yang dilakukan tetapi sudah bermula sejak lebih tiga tahun lalu lagi.

Hal ini kerana, media antarabangsa pernah melaporkan bahawa, pakar di Institut Teknologi Bandung berkata, lebih 95 peratus Jakarta Utara akan tenggelam menjelang 2050.

BACA LAGI: Anwar Ibrahim berlepas ke Jakarta, lawatan rasmi pertama sejak jadi PM

Ia dikatakan berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk perubahan iklim yang sudah mencairkan tiga zon glasier di bumi iaitu Antartika di kawasan Kutub Selatan, Greenland di Kutub Utara dan banjaran gunung di utara.

Lebih parah apabila penurunan tanah dilaporkan berlaku di Jakarta Barat sebanyak 15 sentimeter setiap tahun, Jakarta Timur (10 cm), Jakarta Pusat (dua cm) manakala Jakarta Selatan pula satu cm.

BACA LAGI: Banyak binaan tenggelam banjir lumpur di India, 10 maut manakala 82 masih hilang

Namun, baru-baru ini, media sosial digemparkan sekali lagi dengan perkhabaran sama selepas sebuah video memaparkan keadaan paras air tinggi sehingga mencecah hampir tembok penghalang di kawasan Jakarta.

Melalui video dimuat naik di TikTok @noname_0936, paras tanah di kawasan tersebut juga didakwa semakin menurun sekitar 12 hingga 18 sentimeter.

Dalam video sama, perakam mendakwa bahawa jika ia berlaku secara berterusan, Jakarta berkemungkinan akan tenggelam dengan lebih cepat daripada jangka masa yang diramal sebelum ini.

Pada masa sama, rata-rata warganet memberikan pelbagai respons dan ada yang mendakwa bahawa keputusan kerajaan Indonesia untuk memindahkan lokasi ibu negara ke Kalimantan adalah tepat.

"Patutlah ibu negara Indonesia nak pindah ke Kalimantan, ibarat telur di hujung tanduk," tulis @Cool_Wannabe82 di Twitternya.

Manakala, terdapat juga komen menyatakan mendapan tanah itu berlaku berpunca daripada tindakan Indonesia kerap mengorek tanah.

"Mereka tiada infrastruktur air yang lengkap untuk penduduk di Jakarta. Jadi, mereka pun korek lagi air," komen @takamiorange. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram