Rumah kes seksa, bunuh kucing tidak berpenghuni dan tiada bangkai — Jabatan Veterinar


  • Primer
  • Selasa, 28 Mac 2023

Antara bangkai kucing yang ditemui di kondominium berkenaan. — Facebook/MAA

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan telah melakukan pemeriksaan di lokasi kes penemuan puluhan bangkai kucing di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, jabatan itu berkata, pemeriksaan oleh DVS Wilayah Persekutan mendapati premis tersebut tidak lagi berpenghuni dan telah dibersihkan dengan tiada sebarang bangkai haiwan ditemukan.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang meneliti kes ini dan akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.

DVS memaklumkan bahawa pihaknya sebelum itu menerima aduan rasmi berhubung kes tersebut pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, DVS turut meminta agar mana-mana persatuan berkaitan haiwan dan orang awam untuk menyalurkan sebarang aduan terus kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare) bagi membolehkan tindakan segera oleh pihak jabatan.

337411381_1611273739298015_8153043738605060474_n

Keadaan di kondiminium yang menyaksikan penemuan puluhan bangkai kucing yang dikongsikan MAA. — Facebook/MAA

Jumaat lalu, Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) mendedahkan mengenai perlakuan tidak berperikemanusiaan seorang individu yang dipercayai menyeksa dan membunuh puluhan kucing di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Perbuatan itu terbongkar selepas pemilik rumah terpanggil untuk membuat pemeriksaan di rumah berkenaan susulan menerima aduan daripada jiran yang tidak tahan dengan bau busuk dipercayai datang dari unit kediaman tersebut.

Hasil pemeriksaan menyaksikan penemuan puluhan rangka, organ serta daging kisar haiwan disyaki kucing dalam rumah terbabit.

Susulan daripada itu, MAA menggesa DVS untuk membuat siasatan menyeluruh dan komprehensif berhubung kes penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing itu.

Pada masa sama, polis pada Ahad menahan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram