[VIDEO] Pembenci kucing dipaksa makan najis lepas seksa bulus sampai mati


  • Benua
  • Ahad, 05 Mac 2023

Lee dikenal pasti oleh seorang individu di luar negara, yang telah melihat video dia mendera kucing dan memaklumkan sekumpulan pencinta kucing di seluruh negara. — Agensi

SEORANG lelaki di China yang disyaki mendera kucing diseksa oleh kumpulan dipecayai pencinta kucing selepas videonya melakukan perbuatan tersebut tular dalam talian.

Pihak berkuasa tempatan dari daerah Wuzhong di Suzhou berkata, mereka memandang serius kes tersebut dan telah melancarkan siasatan berhubung perkara itu.

Video mengenai lelaki itu yang diserang juga tersebar dengan beberapa media tempatan melaporkan mengenai kejadian itu.

Menurut Global Times dan Southern Metropolis Daily, lelaki bernama Lee itu menyeksa kucing yang diambilnya untuk dipelihara.

Lee yang juga seorang pekerja pejabat di Timur Suzhou didakwa merakamkan dirinya mendera kucing itu sebelum memuat naik video bekenaan dalam talian.

Beberapa kucing dilaporkan mati kerana perbuatannya.

Lee dikenal pasti oleh seorang individu di luar negara, yang melihat video dia mendera kucing dan memaklumkan kepada sekumpulan pencinta kucing di seluruh negara.

Kumpulan itu dimaklumkan lelaki tersebut bahawa Lee merancang untuk mengambil anak kucing di sebuah plaza komersial.

Enam individu kemudian mengelilingi Lee di plaza itu pada 25 Februari lalu dan melemparkan penghinaan kepadanya.

Lee kemudian dibawa ke lokasi berasingan di mana dia ditendang, diperlakukan untuk menampar dirinya sendiri, melutut di atas lantai dan mengaku perbuatan dilakukannya.

Kumpulan itu dilaporkan turut menconteng muka Lee dengan najis, dan memaksanya menelan najis tersebut.

Dalam satu video, Lee boleh didengar mengaku membunuh lima ekor kucing, sambil dipegang oleh dua individu dengan salah seorang daripadanya mengutuknya dan merakam adegan tersebut.

Lee dilaporkan berada dalam keadaan lebam dan berdarah selepas serangan itu yang berlangsung sepanjang malam.

Walaupun terdapat spekulasi bahawa penyerang Lee adalah sebahagian daripada Persatuan Sukarelawan Perlindungan Haiwan Kecil Suzhou (SSAPA), organisasi itu menerusi akaun Weibonya menafikan melakukan tindakan melampau tersebut. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram