[VIDEO] Lelaki kena tembak depan anak ketika makan aiskrim bersama keluarga


  • Benua
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Tangkap layar video tular kejadian tembakan yang meragut nyawa seorang lelaki di Ventanas, Wilayah Los Ríos, Ecuador pada Isnin lalu. — Agensi

SUASANA perayaan Krismas di Ventanas, Wilayah Los Ríos, Ecuador pada 25 Disember lalu bertukar menjadi malam berdarah selepas seorang lelaki ditembak mati ketika sedang menikmati aiskrim bersama keluarganya.

Insiden ngeri itu turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang kemudiannya mencetuskan kegemparan di negara tersebut.

Kejadian kejam terbabit dilaporkan berlaku sekitar pukul 7.40 malam pada 25 Disember lalu ketika lelaki berkenaan sedang duduk di sebuah kedai ais krim bersama keluarganya.

Bagaimanapun, dia kemudiannya dihampiri oleh seorang individu tidak dikenali yang memakai seluar pendek, berkemeja-T hitam dan bertopi putih yang memasuki premis terbabit.

Dalam tempoh tidak kurang 10 saat, suspek berkenaan kemudiannya bertindak melepaskan tembakan ke arah mangsa tanpa memberikan sebarang amaran.

Situasi tersebut turut menyebabkan ahli keluarga dan rakan mangsa terus meniarap di atas lantai untuk mengelak daripada turut terkena tembakan yang dilepaskan.

Lebih memilukan, kejadian itu berlaku betul-betul di hadapan seorang kanak-kanak yang dipercayai merupakan anak kepada lelaki tersebut yang ketika itu duduk betul-betul di sebelah mangsa.

Sebaik selesai melepaskan beberapa tembakan, suspek terus beredar daripada lokasi meninggalkan mangsa yang kemudiannya dilaporkan menerima sebanyak lapan das tembakan.

Identiti penyerang dan motif di sebalik perbuatan tersebut masih sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Kejadian jenayah sedemikian bukan sesuatu yang baharu di negara Amerika Latin itu yang ketika ini dibelenggu dengan isu keganasan membabitkan kartel dadah.

Rakaman video tular mengejutkan mengenai kejadian terbaru itu di media sosial kini mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Ecuador yang mendesak pihak berkuasa untuk menangani insiden keganasan jenayah yang semakin meningkat di negara berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram