[VIDEO] Ibu tak menyesal hukuman penjara ditambah lepas 8 kali tikam pencabul anak


  • Benua
  • Khamis, 28 Dis 2023

Tangkap layar CCTV memaparkan Sarah yang baru sahaja menikam Michael dengan sebilah pisau di rumahnya di London, United Kingdom pada 2014.

SETIAP wanita yang bergelar seorang ibu pasti mempunyai naluri dan sifat sebagai pelindung dalam apa juga keadaan.

Begitu juga dengan seorang wanita yang bertindak dengan berani membunuh seorang jiran lelaki di rumahnya di London, United Kingdom pada 2014.

Namun, tindakannya itu bukanlah suka-suka malah dia mempunyai alasan kukuh untuk bertindak sedemikian.

msg1050426791-21319

Michael yang dilaporkan telah memperkosa anak-anak Sarah.

Mengimbau kembali kejadian tragis itu, wanita yang bernama Sarah Sands itu mendedahkan telah menikam jiran lelakinya yang merupakan seorang pedofilia, Michael Pleasted sebanyak lapan kali.

Ia berlaku kerana Sarah dikatakan tidak dapat menahan emosi marahnya selepas Michael tidak mahu mengaku telah mencabul ketiga-tiga anak lelakinya.

Katanya, salah seorang anak lelakinya, Bradley yang memberitahu perkara tersebut setelah beberapa minggu berdiam diri kerana malu dan takut.

Ketika kejadian, dia menjelaskan, niat asalnya hanya untuk memaksa Michael mengaku perbuatan terkutuk itu tetapi amarahnya semakin membuak apabila lelaki itu menuduh bahawa anak Sarah hanya menipu.

"Selepas minum dua botol arak, saya terus pergi ke rumahnya dengan membawa pisau dan tanpa sedar telah membunuhnya.

"Ketika itu, saya tidak tahu apa yang saya lakukan, saya takut dan sedar sudah buat satu kesilapan besar.

"Ketika dia mengatakan anak-anak saya berbohong, saya terkaku dan tidak mendengar suaranya," katanya.

Pada masa sama, kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah lif sempat merakam kelibat Sarah dengan sebilah pisau di tangan selepas beberapa minit menikam Michael.

Semasa kejadian, Sarah berkata, Michael cuba untuk menghampirinya yang memegang sebilah pisau ketika itu sebelum tanpa sedar membunuh lelaki itu.

Bagaimanapun, Sarah tidak dikatakan tidak sesekali menyesal dengan perbuatannya kerana menganggap ia sesuatu perkara yang sepatutnya dilakukan sebagi seorang ibu untuk melindungi anak-anaknya.

Selepas itu, Sarah dijatuhkan hukuman penjara selama hampir empat tahun sebelum dilanjutkan menjadi tujuh tahun atas kesalahan membunuh sebelum dibebaskan.

msg1050426791-21317

Sarah (kiri) bersama tiga orang anaknya, Reece (dua dari kiri), Bradley (dua dari kanan) dan Alfie (kanan) ketika mengimbau kenangan tersebut.

Dalam pada itu, ketiga-tiga anaknya, Reece, Bradley dan Alfie turut mendedahkan bahawa mereka bersyukur atas tindakan ibunya itu.

Dalam satu temu bual bersama BBC, mereka sempat berkongsi bahawa berasa lebih selamat selepas kematian penjenayah berkenaan.

Reece berkata, jika Michael ditangkap sekalipun, ia tidak mustahil baginya untuk melakukan perkara sama pada orang lain kelak.

Sementara itu, kes tersebut turut mendapat perhatian ramai dan rata-ratanya menganggap bahawa tindakan Sarah adalah tindakan yang sepatutnya pihak berkuasa lakukan.

Bukan itu sahaja, ada juga yang memuji tindakan Sarah kerana berani mempertahankan hak anak-anaknya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram