
SEORANG remaja perempuan berdepan detik cemas selepas rumahnya yang terletak di Banjar Umabian, Kecamatan Marga Kabupaten Tabanan, Indonesia dipecah masuk pada Selasa.
Ketua Polis Resor Tabanan, Leo Defretes berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut sekitar pukul 2 petang.
Dalam kejadian itu, suspek dilaporkan melarikan wang sebanyak RM2,116 (7 juta Rupiah) beserta telefon bimbit.
Lebih parah, sebelum melarikan diri, pencuri tersebut didakwa bertindak menutup mata dan mengikat tangan remaja berkenaan, dipercayai anak kepada pemilik rumah terbabit.
Dalam pada itu, Leo berkata, kejadian malang itu hanya disedari ibu bapa mangsa setelah mereka pulang ke rumah.
"Setibanya di rumah, ibu gadis tersebut, Komang Yanti terkejut melihat pintu sudah terbuka. Kedua-duanya kemudian cuba mencari anak perempuan mereka.
"Keadaan di dalam rumah ketika itu juga sudah bersepah, almari baju terbuka malah wang yang disimpan di dalamnya juga hilang.
"Komang dan suaminya, Putu Gede Windhu Susila, 44, menemui remaja berkenaan yang diletakkan di belakang rumah dalam keadaan terduduk sambil tangan diikat dengan kain," jelasnya.
Bagaimanapun, pihak polis memaklumkan bahawa kes masih disiasat dan operasi menjejaki suspek juga giat dijalankan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram