TINDAKAN seorang petugas paramedik menyelongkar dan mencuri wang milik seorang pesakit wanita warga emas yang sudah meninggal dunia akhirnya memakan diri.
Suspek, Mark Titley, 58, bagaimanapun tertangkap selepas tindakannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di rumah warga emas itu di Shrewsburry, England, United Kingdom pada 29 Jun 2022.
Melalui rakaman tersebut, Mark dilihat menyelongkar barang-barang dan mengambil wang sebelum menyadari kehadiran CCTV di lokasi dia berada.
Pada masa sama, Mark dilihat secara pantas meletakkan semula wang sejumlah RM301 itu ke tempat asal selepas kelakuannya dihidu.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kejadian tersebut dapat dikesan oleh anak mangsa dan segera melaporkan kepada Polis Mercia Barat.
Pada awalnya, Mark dikatakan menafikan dakwaan tersebut serta cuba meyakinkan pihak polis bahawa dia hanya mahu 'menjaga' wang itu untuk kegunaan ahli keluarga si mati.
Bagaiamanapun, pada April tahun ini, dia kemudiannya mengaku telah mencuri dan dijatuhkan hukuman penjara selama 18 minggu, ditahan selama 12 bulan serta diarahkan agar menjalankan tugas tanpa gaji selama 120 jam.
Bukan itu sahaja, Mark juga diarahkan untuk membayar kos sebanyak RM2,664 dan surcaj sebanyak RM940 kepada mangsa.
Penolong Ketua Pegawai Ambulans Nathan Hudson berkata, pihaknya sangat terkejut selepas mendapati rakan sekerja mereka melakukan perkara seperti itu.
"Kami memegang tugas amanah apabila kami memasuki rumah seseorang dan tindakan sebegini sememangnya menjejaskan semua reputasi kami sehingga menyukarkan kakitangan yang masih bekerja.
"Kami gembira perkara ini dibawa ke mahkamah dan ditangani oleh sistem keadilan jenayah," katanya.
Dia dilaporkan sudah tidak lagi berkhidmat sebagai petugas paramedik dalam Perkhidmatan Ambulans Midlands Barat dua hari selepas kejadian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram