Ahli Parlimen muda pembangkang Thailand kena hukuman penjara hina monarki


  • Benua
  • Rabu, 13 Dis 2023

Mahkamah Jenayah Bangkok pada Rabu mendapati Ahli Parlimen Rukchanok Srinork bersalah kerana menghina raja. — Agensi

SEORANG Ahli Parlimen pembangkang Thailand dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana menulis hantaran yang menghina monarki.

Mahkamah Jenayah Bangkok pada Rabu mendapati Ahli Parlimen Rukchanok Srinork bersalah kerana menghina raja.

Ahli Parlimen berusia 29 tahun itu yang juga seorang aktivis didapati bersalah mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah dan Seksyen 14 (2) Akta Jenayah Komputer 2007.

Menurut kenyataan mahkamah, Rukchanok didapati bersalah atas dua hantarannya pada 2020 berkaitan monarki dan vaksin Covid-19 di platform media sosial Twitter yang kini dikenali sebagai X.

Beliau menafikan kesemua tuduhan.

Rukchanok dibenarkan diikat jamin 500,000 baht dengan syarat beliau tidak mengulangi kesalahan itu.

Menurut data Thai Lawyers for Human Rights (TLHR), sekurang-kurangnya 262 orang didakwa mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah sejak 2020 kerana menghina monarki. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram