[VIDEO] Perompak 'chubby' sempat beramah mesra sebelum samun barang kemas di Alor Setar


  • 112
  • Isnin, 04 Dis 2023

Tangkap layar seorang lelaki bersenjatakan 'pump gun' dan sebilah kapak melarikan barang kemas bernilai RM178,000 di Jalan Langgar dekat Alor Setar, Kedah pada Ahad.

LICIK dan berani, itulah situasi yang sesuai diungkapkan kepada seorang lelaki yang berjaya merompak sebuah kedai emas di Jalan Langgar dekat Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Difahamkan, penyamun yang bergerak secara solo itu bersenjatakan 'pump gun' dan sebilah kapak melarikan barang kemas bernilai RM178,000.

Malah, suspek juga dipercayai sempat menyapa 'hai' kepada seorang pekerja wanita di kedai berkenaan sebelum mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan barang kemas terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, Pusat Kawalan Daerah Kota Setar menerima panggilan daripada pengadu dipercayai anak pemilik kedai emas berkenaan pada pukul 5.10 petang Ahad yang memaklumkan kedai emas terbabit disamun.

Beliau berkata, pengadu memaklumkan suspek bersenjatakan senapang dan sebilah kapak.

"Siasatan mendapati, suspek datang seorang diri dan masuk ke dalam kedai emas itu dan berkata 'hai' kepada pekerja wanita terbabit.

"Suspek dipercayai berbadan gempal dan tinggi kira-kira 170 sentimeter. Dia memakai topi keledar warna putih, baju jaket warna biru dan seluar panjang hitam, kasut hitam dan membawa sebuah beg badminton.

"Selepas itu, suspek meletakkan beg di atas lantai lalu membuka beg kemudian mengeluarkan 'pump gun' dan mengacu terlebih dahulu ke arah pekerja wanita berkenaan," katanya memetik laporan media, Harian Metro pada Isnin.

Syed Basri berkata, suspek yang memakai sarung tangan mengeluarkan kapak dari beg, lalu memecahkan cermin meja pameran beberapa kali sehingga ia pecah.

Beliau berkata, suspek berjaya mengambil barang kemas daripada meja pameran iaitu dua dulang berisi 32 utas rantai emas berharga kira-kira RM178,000.

"Suspek memasukkan barang kemas ke dalam beg dan terus melarikan diri ke arah kiri kedai.

"Ketika kejadian, tiada pelanggan dan hanya seorang pekerja wanita dan seorang wanita dipercayai pengurus kedai serta lelaki iaitu anak kepada pemilik kedai," katanya.

Syed Basri berkata, suspek yang bergerak seorang diri itu dipercayai menaiki sebuah motosikal Suzuki Raider.

Beliau berkata, suspek kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram