[VIDEO] Hanya pakai aerial, 2 pencuri handal larikan Rolls-Royce parkir depan rumah


  • Benua
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Tangkap layar CCTV memaparkan tindakan handal dua orang pencuri kereta Rolls-Royce di United Kingdom baru-baru ini.

MEMILIKI kereta mewah tidak dinafikan sedikit sebanyak membuka ruang kepada risiko untuk dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

Kebanyakan pencuri mempunyai taktik atau cara yang berbeza untuk melakukan perbuatan tersebut supaya tidak ditangkap.

Begitu juga dengan tindakan dua orang pencuri yang kelihatan handal dan licik ketika mencuri sebuah kereta mewah jenis Rolls-Royce bernilai lebih RM1 juta di United Kingdom.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah pemilik kereta berkenaan, salah seorang pencuri itu menggunakan wayar aerial untuk menghantar signal kepada kunci kereta dari luar.

Dalam video itu, suspek dilihat memasukkan wayar antena tersebut melalui celah pintu rumah sehingga kereta itu dapat dibuka.

Manakala, seorang lagi mengawasi keadaan dan terus menghidupkan enjin sebelum membawa lari kereta tersebut.

Lebih mengejutkan, mereka dilaporkan mengambil masa sebanyak 30 saat sahaja untuk melakukan perkara tersebut.

Jika dilihat daripada pandangan umum, ia dikatakan suatu tindakan yang bijak kerana menggunakan cara yang efektif untuk membuka kereta tanpa memecah masuk ke dalam rumah tersebut.

Secara amnya, isyarat klon yang terdapat pada antena berkenaan membuatkan enjin kereta dapat dihidupkan.

Bukan itu sahaja, menggunakan alat elektronik merupakan antara cara yang popular digunakan untuk mencuri kereta di England.

Sementara itu, terdapat lebih 130,000 kes yang sama di United Kingdom direkodkan pada 2023. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram