[VIDEO] Wanita redah banjir hanyut 20 meter lepas jatuh parit ketika hantar anak ke tempat kerja


  • Benua
  • Isnin, 27 Nov 2023

Tangkap layar video tular itu memaparkan wanita terbabit terjerumus ke dalam parit di sebelah jambatan tersebut bersama motosikalnya.

SEORANG wanita mengalami detik menakutkan apabila dihanyutkan arus bersama motosikal dinaikinya ketika cuba hendak melintas sebuah jambatan sebelum jatuh ke parit dalam kejadian di Kecamatan Tambang, Kabupaten Kampar, Riau, Indonesia pada Khamis lalu.

Insiden menakutkan itu dirakam menerusi satu video tular yang dikongsikan di akaun Instagram, @kabarpekanbaru.

Berdasarkan klip tersebut, wanita terbabit yang menunggang motosikal dilihat pada awalnya cuba melintasi sebuah jambatan yang dilalui arus banjir.

Pada waktu itu, seorang individu dilihat turut cuba mengawal lalu lintas di kawasan terbabit dengan mengawasi pergerakan kenderaan.

WhatsApp Image 2023-11-27 at 6.04.49 PM (1)

Wanita berkenaan yang menaiki motosikal terbabit bersama anaknya pada awalnya cuba melintasi jambatan berkenaan yang dilalui arus banjir.

Bagaimanapun, motosikal dinaiki wanita itu secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan hanyut bersama motosikalnya terjerumus ke dalam parit di tepi jambatan berkenaan.

Menerusi video tersebut, usaha orang ramai yang berada di sekitar untuk menariknya daripada terhumban bersama kenderaannya ke dalam parit juga dilihat gagal.

Namun, difahamkan wanita terbabit kemudiannya berjaya ditemui penduduk tidak jauh dari lokasi dalam keadaan lemah.

Media tempatan melaporkan bahawa Ketua Polis Tambang, Ajun Komisaris Marupa Sibarani ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Ujarnya, ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Nur, 52, difahamkan cuba melintasi jambatan untuk menghantar anaknya yang membonceng motosikal sama bagi ke tempat kerja.

"Ketika melintasi jambatan itu, mangsa hilang kawalan lalu memasuki parit bersama motosikalnya dan dihanyutkan arus,” kata Marupa yang turut memaklumkan insiden berlaku pada pukul 7 pagi waktu tempatan.

Katanya, penduduk di sekitar lokasi kejadian yang kemudiannya segera mencari mangsa berjaya menyelamatkan mangsa yang ditemui 20 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sansani Pekanbaru untuk mendapatkan pertolongan cemas.

“Motosikal mangsa ditemui pada pukul 11.00 pagi (waktu tempatan iaitu kira-kira 15 meter dari lokasi kejadian,” ujar Marupa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram