[VIDEO] Air deras badai rumah, ibu muda panik selamatkan bayi ketika leka tonton televisyen


  • Benua
  • Selasa, 06 Jun 2023

Tangkap layar insiden banjir berlaku di sebuah kediaman dekat Sentra Pondok Rajeg, Cibinong, Bogor.

SEORANG wanita mengharungi detik cemas apabila kediamannya dimasuki air banjir dalam satu insiden yang berlaku di Sentra Pondok Rajeg, Cibinong, Bogor, Indonesia baru-baru ini.

Ketika kejadian, dua beranak itu terlebih dahulu dilihat sedang beristirahat dengan menonton televisyen sambil si ibu duduk di sofa manakala anak kecilnya di dalam kerusi bayi.

Namun, situasi tenang itu tidak berpanjangan apabila kediamannya dimasuki air banjir yang melimpah deras secara tiba-tiba dari luar rumahnya.

Rumah tersebut yang tidak berpagar begitu mudah dimasuki air bah sehingga menyebabkan beberapa objek serta barangan termasuk kolam pelampung dan alat permainan kanak-kanak hanyut dibawa air.

Tersentak dengan situasi itu, si ibu segera mendukung anaknya dan bergerak ke tempat yang lebih selamat.

Rata-rata warganet mengucap kata-kata syukur susulan insiden banjir itu tidak terlampau teruk selain bayi tersebut berjaya diselamatkan.

"Syukur tiada apa yang berlaku, nasib baik si ibu juga peka dengan situasi sekeliling, dan anaknya juga tak tercedera," kata Rizki Urdiyan.

"Risau lihat banjir macam ini berlaku, rumah dinaiki air tiba-tiba dan sesiapa pun akan cemas kalau di situ," ujar YayaUmair59.

"Alhamdulillah ibunya tidak panik, pantas dukung anaknya walaupun rumah dimasuki air," jelas susanti.handayan.

Namun, punca sebenar kejadian banjir itu tidak diketahui setakat ini dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram