HARI bahagia seorang atlet paralimpik Thailand bertukar tragedi selepas lelaki itu bertindak di luar kawalan dengan melepaskan tembakan rambang yang mengorbankan empat individu termasuk pengantin perempuan.
Tragedi mengejutkan itu berlaku di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand kira-kira pukul 11 malam Sabtu.
Menurut Ketua Balai Polis Wang Nam Khiao, Leftenan Kolonel Rungroj Tangamnuay, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, pasangan itu difahamkan bertengkar berhubung majlis terbabit.
Susulan ketegangan itu, pengantin lelaki, Chaturong Suksuk, 29, yang dalam keadaan mabuk dilaporkan menghempas meja sehingga menyebabkan kekecohan.
Dia kemudiannya mengambil pistol automatik jenis 9mm CZ dari dalam keretanya dan mula menembak ke arah individu yang berada di tempat kejadian.
Foto memaparkan pasangan pengantin terbabit bergambar bersama tetamu pada majlis perkahwinan yang diadakan pada Sabtu. — Agensi
Selepas melepaskan tembakan rambang yang mengorbankan empat mangsa termasuk ibu dan adik perempuannya bersama dua tetamu, pengantin lelaki terbabit turut bertindak menembak dirinya sendiri.
Tindakan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan individu terkorban dalam kejadian ngeri itu kepada sebanyak lima orang.
Kesemua mangsa maut meninggal dunia akibat kecederaan tembakan yang dilapor dilepaskan di kawasan pekarangan rumah yang menempatkan khemah bagi majlis perkahwinan berkenaan.
Mereka yang dikenal pasti terkorban ialah pengantin perempuan, Kanchana, 38; ibu pengantin lelaki, Klajoho, 60 dan kakaknya, Kornida Manator, 37.
Dua lagi mangsa, Thong Nonkuntod, 50 dan Bamrung Chatherat, 28, dikejarkan ke hospital dan berjaya diselamatkan meskipun mengalami kecederaan parah.
Hasil siasatan di lokasi, polis menemui senjata api yang digunakan dalam kejadian tersebut bersama 11 kelongsong peluru.
Mayat mangsa yang terkorban dalam kejadian tembakan tersebut. — Agensi
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan motif di sebalik kejadian ngeri ini.
Bagaimanapun polis percaya tragedi itu mungkin berlaku akibat pertengkaran antara pasangan pengantin baharu itu.
Chaturong merupakan bekas tentera yang kehilangan kaki kanannya dalam kemalangan kereta api.
Dia yang juga atlet renang paralimpik Thailand juga memenangi pingat perak dalam Sukan Para ASEAN ke-11 di Indonesia dan dalam rangka persediaan untuk menyertai menyertai Sukan Kemampuan Dunia 2023. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram