[VIDEO] Tragedi ketika tonton filem, 9 maut kena rempuh trak pikap dipandu lelaki mabuk


  • Benua
  • Ahad, 26 Nov 2023

Keadaan di lokasi kejadian ekoran daripada insiden rempuhan yang berlaku sekitar pukul 10.15 malam Sabtu di wilayah Si Sa Ket pada Sabtu. — Agensi

SEKURANG-kurangnya sembilan individu terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas sebuah trak pikap dipandu lelaki mabuk merempuh orang ramai yang sedang menonton filem di kawasan terbuka berdekatan sebuah kuil dekat wilayah Si Sa Ket, timur laut Thailand pada Sabtu.

Dalam insiden pada pukul 10.15 malam waktu tempatan itu, kira-kira 15 buah motosikal turut rosak akibat dirempuh pikap berkenaan yang turut terbalik akibat impak pelanggaran tersebut.

Penyiasat Balai Polis Phrai Bueng, Kapten Noppadon Inthong berkata, pemandu berusia 37 tahun itu, hilang kawalan ke atas kenderaannya, merempuh motosikal berhampiran sebuah kuil ketika sebuah filem sedang ditayangkan di tempat terbuka.

7_20

Keadaan kereta dipandu lelaki yang mabuk itu susulan insiden rempuhan yang meragut sembilan nyawa dekat wilayah Si Sa Ket, pada Sabtu. — Agensi

Pemandu itu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan di tempat kejadian.

Ujian kandungan alkohol mendapati tahap alkohol suspek melebihi paras yang dibenarkan iaitu 0.24 peratus.

"Trak pikap merempuh motosikal yang diparkir dan orang ramai yang berada di situ. Tujuh orang meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua mangsa yang parah meninggal dunia di hospital.

"Lebih 10 individu cedera dan mereka sedang menerima rawatan di hospital berhampiran,” katanya.

Susulan daripada kejadian itu, pemandu terbabit yang hanya cedera ringan mengaku kepada polis bahawa dia telah mabuk dan tertidur ketika memandu sehingga mengakibatkan insiden rempuhan berkenaan.

Pada masa sama, media tempatan melaporkan antara mangsa maut termasuk empat remaja lelaki baru berusia 14 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram