
EMPAT lelaki yang menyamar sebagai ejen Biro Siasatan Negara (NBI) menjalankan kegiatan rompakan di sebuah kedai barang kemas yang terletak di Jalan Colon, Cebu, Filipina awal pagi Sabtu.
Kejadian rompakan itu berlaku kira-kira pukul 9.05 pagi dan dilaporkan kepada pihak berkuasa pada pukul 9.20 pagi.
Menurut saksi yang enggan dikenali, empat suspek itu datang dengan menaiki dua buah motosikal.
Secara tiba-tiba, mereka menyerbu ke kedai emas berkenaan sambil membawa beberapa senjata api.
Pada mulanya, suspek mendakwa dia hadir untuk menangkap pengawal keselamatan kedai yang dikatakan sebagai orang dikehendaki.
Bagaimanapun, lelaki itu secara tiba-tiba mengarahkan pengawal keselamatan untuk turun meniarap sambil mengacukan pistol ke arah dua pekerja dan juga pemilik kedai berkenaan.
Turut dirakam, aksi suspek menyumbat pelbagai barang kemas ke dalam satu beg yang dibawa bersama pada masa kejadian.
Seorang saksi yang berada di luar kedai berkata, rompakan itu hanya mengambil masa sekitar 2 minit sebelum lelaki terbabit bergegas meninggalkan kawasan itu.
Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar kedai turut menunjukkan dua orang suspek menunggu di luar kedai manakala dua rakan subahatnya yang lain berada di dalam kedai untuk menjalankan kegiatan rompakan.
Selain itu, rakaman CCTV memaparkan suspek kemudian melarikan diri dengan membawa barangan mewah yang dicuri dari kedai terbabit.
Setakat berita ini ditulis, jumlah kerugian masih lagi siasatan dan operasi memburu suspek juga giat dijalankan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram