[VIDEO] Warga emas akan kemuka representasi gugur kes halang anggota MBPJ tangkap anjing liar


Patrick Khoo Kian Wui akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghalang anggota MBPJ menangkap anjing liar. — Bernama

SEORANG lelaki warga emas akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghalang penjawat awam dalam operasi penangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor.

Peguam Rajsurian Pillai mewakili Patrick Khoo Kian Wui, 69, pada Jumaat memaklumkan kepada Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa bahawa pihaknya akan menghantar representasi memandangkan pihak pendakwaan mahu meneruskan kes itu.

"Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pengadu telah menarik balik laporan dan rakaman percakapan mengenai penarikan itu telah direkodkan.

"Namun, pihak pendakwaan menerima arahan untuk meneruskan kes berkenaan. Oleh itu, pihak kami akan menghantar representasi,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Tay Chee Fu.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes itu pada 22 Disember ini untuk penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal dan Khoo dilihat hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda kerana mengalami masalah kesihatan.

Pada 31 Mac lepas, Khoo, yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menghalang anggota MBPJ Azizul Azzim Norehan daripada menjalankan tugasnya di sebuah rumah di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya pada pukul 9 malam, 22 Mac lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 24 Mac lepas, media melaporkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap sebuah rakaman kamera litar tertutup yang tular memaparkan insiden pergelutan antara anggota MBPJ dengan seorang lelaki semasa operasi menangkap anjing liar.

Lelaki itu dikatakan cuba melindungi kumpulan anjing liar dengan memasukkan haiwan itu ke dalam premisnya, menyebabkan pasukan penangkap anjing cuba menghalang tindakannya sebelum berlaku pergelutan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram