[VIDEO] Macam nak langgar lari, lelaki 'bersidai' tepi jalan hampir kena rempuh SUV nahas malam Deepavali


  • Benua
  • Selasa, 14 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki sempat mengelak sebelum nyaris dirempuh pemandu SUV ketika sambutan Deepavali di India pada Ahad.

SEORANG lelaki dipercayai pengawal keselamatan bernasib baik kerana sempat mengelak daripada dirempuh sebuah kereta ketika sambutan Deepavali di Greater Noida, India pada Ahad.

Menerusi video yang sempat dirakam salah seorang saksi dan tular di media sosial sejak Ahad itu, pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dilihat memandu secara berbahaya di kawasan perumahan di daerah berkenaan.

Berdasarkan video berdurasi 25 saat itu, pemandu terbabit dilihat memecut kenderaannya dan nyaris melanggar sekumpulan orang yang sedang berkumpul di bahu jalan.

Kenderaan yang bergerak secara zigzag itu juga dilihat secara tiba-tiba melulu ke arah mangsa.

Namun, mangsa sempat mengelak daripada dirempuh pemandu berkenaan dengan melompat ke tepi jalan di kawasan itu.

Dalam pada itu, pemandu SUV berkenaan dilihat tidak menunjukkan sebarang tindakan yang bertanggungjawab malah berlalu pergi begitu sahaja selepas insiden tersebut berlaku.

Bagaimanapun, ia dikatakan merupakan kejadian kedua yang berlaku pada ketika itu.

Kejadian pertama dilaporkan berlaku melibatkan tiga orang mangsa yang cedera parah dilanggar pemandu SUV berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Gautam Budh Nagar, Shakti Mohan Avasthy berkata, pihak polis segera tiba di lokasi kejadian sejurus selepas menerima maklumat.

"Pihak polis telah menerima maklumat mengenai kejadian langgar lari itu dan membawa tiga mangsa yang cedera parah ke Hospital Kailash untuk rawatan lanjut.

"Kami telah mengarahkan empat pasukan polis untuk menangkap tertuduh," katanya dalam kenyataan di Twitter (X) pada Isnin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram