SEORANG bilal ditemui maut dalam kejadian langgar lari yang dipercayai berlaku di jambatan Kampung Kelatuan, Papar, Sabah pada Isnin.
Pengguna Facebook, Asfahani Mzainal menerusi satu posting dalam grup Papar mendakwa, mangsa dilanggar semasa dalam perjalanan untuk melaungkan azan Subuh di Masjid Jamek Haji Derun, Papar.
Difahamkan, mangsa menunggang motosikal seorang diri pada masa itu.
Pada masa sama, Asfahani meminta suspek untuk tampil memberi kerjasama dan bertanggungjawab atas insiden itu.
Difahamkan, suspek sukar dikesan kerana kawasan persekitaran kemalangan itu berada dalam keadaan gelap dan tiada lampu yang dipasang berhampiran jambatan terbabit.
Selain itu, Asfahani turut meminta saksi yang melihat kejadian untuk menghubungi keluarga mangsa di talian 014-6990200.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut berkongsi hantaran itu bagi membantu mengesan suspek.
"Cek juga di bengkel-bengkel kereta berhampiran. Semoga pelaku cepat dijumpai," kata Mumin Said.
"Tak selamat dan tak tenang hidupnya ini sudah melanggar malah lari begitu sahaja," kata Norlilabidin Nur.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram