
POLIS menemui bukti baharu dalam kejadian pembunuhan membabitkan anak kepada seorang penerbit terkenal Hollywood, Sam Haskell IV, 35 yang dipercayai membunuh isterinya yang dilaporkan hilang.
Lelaki tersebut sebelum itu ditahan selepas polis menemui mayat badan wanita tanpa kepala di dalam sebuah tempat pembuangan sampah tidak jauh daripada rumah miliknya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu lalu.
Dalam kewujudan bukti terbaharu itu, rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi penemuan memaparkan kehadiran seorang lelaki menaiki kenderaan utilit sukan (SUV) berwarna putih.
Berdasarkan klip tersebut, individu terbabit dilihat mengangkut satu barangan besar dari keretanya untuk dibuang ke tempat sampah terbabit.
Meskipun mayat berkenaan masih belum dikenal pasti secara rasmi, sumber rapat dengan kes itu mendakwa polis percaya mayat itu merupakan Mei Haskell,37, yang merupakan isteri kepada Sam.
Mei (kiri) dan ibunya dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu. — Agensi
Mei sebelum itu dilaporkan hilang selama sekurang-kurangnya lebih seminggu bersama dua ibu bapanya, Gaoshan Li, 72, and YanXiang Wang, 64.
Ketiga-tiga beranak itu difahamkan tinggal bersama-sama di rumah mewah milik Sam.
Susulan daripada penemuan mayat tidak cukup sifat itu, polis bertindak menahan Sam yang kemudiannya turut dituduh dengan kesalahan membunuh.
Dalam pada itu, polis turut mendapatkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian mengenai nombor plat kenderaan yang didakwa membawa mayat terbabit.
Keluarga Sam dipercayai mempunyai dua kenderaan SUV masing-masing jenis Volkswagen Tiguan dan Nissan Pathfinder berwarna putih.
Kedua-dua kenderaan terbabit kini dilaporkan hilang.
Hasil perkahwinan Sam bersama Mei, mereka dikurniakan tiga cahaya mata yang masing-masing berusia enam, lapan dan 12 tahun.
Sam ditahan sejurus selepas penemuan mayat tanpa kepala itu yang dijumpai di tempat pembuangan sampah tidak jauh dari rumahnya. — Agensi
Ketiga-tiga cahaya mata pasangan tersebut berada di sekolah ketika penahanan bapa mereka.
Sebelum penemuan mayat berkenaan yang dijumpai oleh seorang gelandangan, Sam dilaporkan berkongsikan video di TikTok yang memaparkan mengeluarkan kata-kata pelik termasuk berunsur kebencian.
Dalam pada itu, jiran pasangan tersebut yang mengenali Mei turut mendakwa Sam dikenali sebagai seseorang individu yang berkelakuan aneh.
"Ada sesuatu yang sangat pelik terhadapnya. Saya fikir mungkin dia sakit, atau ada perkara tidak kena," ujar jiran berkenaan yang ditemu bual ABC 7 News.
Bapa Sam yang merupakan penerbit terkenal di Hollywood turut pernah menjadi ejen kepada beberapa bintang pelakon popular, antaranya seperti George Clooney, Dolly Parton dan Whoopi Goldberg. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram