SATU kebakaran besar akibat letupan di sebuah loji bahan kimia mengakibatkan kepulan awan asap hitam menyelubungi langit Shepherd, Texas, Amerika Syarikat pada Rabu.
Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan arahan perlindungan kepada penduduk yang berada dalam lingkungan radius lebih 1.5 kilometer dari lokasi kebakaran tersebut.
Shepherd ialah kawasan luar bandar yang terletak kira-kira 100 kilometer dari timur laut Houston.
Pegawai di Daerah San Jacinto berkata, letupan itu berlaku di Sound Resource Solutions, sebuah syarikat yang mengitar dan membungkus semula pelbagai bahan kimia.
Difahamkan, kejadian tersebut mungkin berlaku akibat daripada kemalangan yang melibatkan forklift, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Syerif Daerah San Jacinto, Greg Capers berkata, pihaknya mula menerima panggilan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 8 pagi sejurus selepas letupan itu terjadi.
Menurut Capers, letupan itu menyebabkan badan seorang pekerja melecur, bagaimanapun dia kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
"Laporan awal menunjukkan kebakaran tersebut melibatkan beberapa bahan kimia yang mudah terbakar seperti diesel dan turpentin," katanya.
Kepulan asap besar yang berkumpul dari lokasi kejadian dapat dilihat menerusi video yang dirakam oleh orang awam.
Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada penduduk untuk berlindung di tempat selamat dan menutup sistem penghawa dingin masing-masing.
Dalam pada itu, Capers turut memaklumkan, seramai 19 daripada 37 pekerja Sound Resource Solutions sedang bertugas sewaktu letupan itu berlaku.
"Sebuah sekolah swasta dengan 31 kanak-kanak berhampiran lokasi letupan selamat dipindahkan melalui padang rumput dan para pelajar telah dikembalikan semula kepada ibu bapa mereka," ujarnya.
Sementara itu, penyelaras Pengurusan Kecemasan Daerah San Jacinto, Emmitt Eldridge memberitahu, kebakaran berjaya dikawal menjelang petang Rabu, yang menyaksikan sepasukan anggota bomba menggunakan bahan pemadam api jenis buih untuk memadamkan api sepenuhnya.
Pelarut yang dihasilkan di kilang itu digunakan untuk membuat gam dan penyingkiran cat.
Pejabat Pengurusan Kecemasan Daerah Polk memberi amaran bahawa bahan kimia itu adalah toksik dan boleh menyebabkan kerengsaan pada mata dan kulit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram