Pemilik kilang jentera disiasat khianat cemari Sungai Semenyih


  • 112
  • Jumaat, 17 Dis 2021

Petugas LUAS memasang oil boom dan serbuk karbon teraktif bagi mengelakkan sisa minyak terus mengalir ke Sungai Semenyih.

POLIS Sepang membuka kertas siasatan berkaitan insiden pencemaran sumber air di lembangan Sungai Semenyih, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 8.58 pagi pada Khamis mengenai bau abnormal yang dikesan di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir, Dengkil.

Beliau berkata, pengadu selaku kakitangan unit Pasukan Khas Lembangan dan Alur Air (PAKAR) Air Selangor mengesan aliran pencemar disyaki di alur air yang memasuki Sungai Semenyih pada jam 9.52 pagi dan memaklumkan kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa lain termasuk Suruhanjaya Air Negara (SPAN).

"PAKAR, LUAS, SPAN dan Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian mengesyaki pencemaran berpunca dari sebuah kilang jentera.

"Pemeriksaan teliti dapati terdapat saluran bawah tanah (bawah longkang) yang tak dapat dipastikan punca dan point titik. Sekeliling premis diperiksa namun tiada penemuan. Selain itu, saliran efluen oilboom telah dipasang bagi menahan discharge (bahan buangan) dari masuk ke dalam Sungai Semenyih," katanya.

Beliau berkata, pihak polis, LUAS dan PAKAR meneruskan siasatan memasuki premis itu dan mendapati tiada sebarang efluen dilepaskan dari kedua-dua premis namun terdapat satu aliran bawah tanah disyaki mengeluarkan discharge kelihatan seakan-akan minyak.

"Sebanyak empat bag Activated Carbon diletakkan pada oilboom bagi menyedut dan meneutralkan minyak di atas air," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, siasatan di lokasi kejadian dilakukan Unit Forensik IPK Selangor dengan mengambil lima sampel air di laluan sebagaimana dinyatakan pengadu serta di muka sauk LRA.

"Sampel diambil dari dalam premis kilang disyaki dan sampel perbandingan yang diambil oleh pihak pengadu iaitu Pakar Air Selangor diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk perbandingan.

"Kesemua sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Tambah Wan Kamarul Azran, pemilik premis berkenaan telah dipanggil pada Khamis untuk dirakam keterangan berhubung insiden berkenaan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram