SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun membuat tindakan nekad apabila menculik seorang bayi baru lahir dari sebuah hospital di Rio de Janeiro, Brazil.
Lebih mengejutkan, dia yang dikenali sebagai Cuane Malaquias menyeludup keluar bayi berusia sehari itu dengan memasukkannya ke sebuah dalam beg sandang.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu kepada bayi tersebut, Nívea Rabelo, 27, sedang tidur selepas baru sahaja melahirkan anaknya itu pada pukul 2 pagi Selasa lalu.
Pihak pengurusan hospital memaklumkan, Malaquias dipercayai memasuki hospital berkenaan dengan cara memanjat bahagian balkoni bangunan sebelum menyelinap ke tingkat tiga.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokasi turut memaparkan tindakan wanita itu mengintai ke dalam bilik bayi berkenaan dari lorong luar wad berkenaan.
Menerusi rakaman sama, suspek kemudiannya dilihat keluar daripada bilik terbabit dengan sebuah beg sandang bersaiz besar dipercayai berisi bayi tersebut.
Bayi berkenaan berjaya diselamatkan pada hari sama dia diculik. — Agensi
Bercakap kepada media tempatan, datuk kepada bayi berkenaan memaklumkan menantu perempuannya hanya terlelap selama 20 minit sebelum tersedar dan mendapati kehilangan kanak-kanak tersebut.
Susulan daripada itu, pihak keluarga segera menghubungi polis yang kemudiannya berjaya segera mengesan wanita terbabit di rumahnya yang terletak kira-kira 8 kilometer daripada hospital berkenaan.
Media tempatan melaporkan, Malaquias yang merupakan ibu kepada seorang kanak-kanak berusia lima tahun mendakwa bayi lelaki itu adalah miliknya.
Ujarnya, bayi lelaki terbabit dicuri daripadanya ketika kanak-kanak berkenaan baru berusia tiga hari selepas dilahirkannya.
Bayi tersebut bagaimanapun kemudiannya dibawa ke hospital untuk diserahkan kepada keluarganya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram