APABILA berlakunya insiden penangkapan penjenayah oleh orang awam, adalah menjadi kebiasaan untuk kita melihat kejadian pelaku dipukul orang ramai.
Meskipun tindakan tersebut diketahui sebagai salah dan tidak dibenarkan di bawah undang-undang termasuk di Malaysia, ia dilihat masih tetap berlaku sehingga hari ini.
Dalam pada itu, di Indonesia, tular satu video memaparkan seorang ketua polis di daerah Binjai, Sumatera, Indonesia terpaksa merayu kepada orang awam untuk tidak membelasah seorang pencuri motosikal yang diberkas.
Lebih mengejutkan, pegawai polis yang dikenali sebagai Rio Alexander itu dipapar turut melutut memohon orang ramai supaya tidak menjalankan hukuman sendiri terhadap pencuri terbabit.
Sebelum itu, video itu tular selepas dikongsi oleh akaun Instagram, @memomedsos pada Isnin memaparkan sekumpulan penduduk berang apabila pencuri motosikal dibawa keluar dari pasar mini untuk masuk ke dalam kereta polis.
Menerusi klip tersebut, Rio didengar mengingatkan penduduk supaya tidak menjadi hakim dengan mengambil keputusan di tangan sendiri kerana ia bertentangan dengan undang-undang.
"Kami tidak bermaksud hendak berpihak kepada pesalah. Kami menahannya pun kerana dia bersalah. Kami tidak membela suspek.
"Tapi ingat! Ingat, kita kena jaga peraturan. Kamu semua, jangan ambil tindakan yang menyalahi undang-undang.
"Saya benar-benar minta tolong. Tolong hormati," ucapnya yang ketika itu dilihat turut sedang berlutut di atas kereta polis.
Tindakan Rio itu didapati kemudiannya dapat menenangkan kumpulan penduduk itu yang sebelumnya bersikap agresif kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pencuri terbabit.
Media melaporkan, suspek difahamkan sudah melakukan kegiatan pencurian motosikal di sekitar daerah tersebut sebelum diberkas penduduk pada Selasa lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram