
BARU-BARU ini, tular satu video menyentuh hati memaparkan seorang ibu menangis dalam keadaan teresak-esak di depan anak lelakinya.
Situasi meruntun jiwa yang terjadi di Indonesia itu dipercayai berlaku apabila wanita tersebut mendapat tahu anak kesayangannya itu terlibat dalam satu pergaduhan melibatkan senjata tajam dengan sekumpulan remaja bercampur lelaki dan perempuan.
Menerusi video berkenaan, wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu kelihatan amat kecewa dengan perbuatan anaknya yang seolah-olah tidak menghargai dirinya yang membanting tulang mencari rezeki untuk menyara mereka sekeluarga.
"Kamu tidak kasihan dengan ibu ke? Ibu kerja bermati-matian untuk beri kamu makan.
"Ibu bekerja setiap pagi, mencuci rumah orang, basuh dan gosok baju orang, tetapi kamu boleh bersenang-lenang macam orang kaya.
"Biar nanti kalau ibu sudah tak ada, baru kamu sedar," katanya.
Remaja itu bagaimanapun dilihat tidak mampu menatap wajah ibunya dan hanya tertunduk sambil mengusap air matanya.
"Saya janji tidak akan buat lagi," katanya sambil mencium kaki ibunya.
Tinjauan Majoriti mendapati rakaman berkenaan merupakan video lama yang ditularkan semula di media sosial sejak Ahad.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca sebenar pergaduhan remaja tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan warga maya begitu tersentuh dan meluahkan rasa belas kasihan mereka melihat pengorbanan wanita tersebut demi membesarkan anaknya.
Malah tidak kurang juga yang menyatakan bahawa situasi seperti yang dipaparkan dalam video itu juga sebenarnya sering berlaku terutamanya di bandar-bandar besar.
"(Kejadian ini) banyak terjadi di kota-kota besar. Anak berhibur di kafe setiap malam, sedangkan ibu bapanya cuma makan nasi berlaukkan garam di rumah," tulis @Ulekbulluu.
"Apabila ibu dah mula meluah seperti itu, ketahuilah bahawa dia benar-benar sedang penat dan lelah menjadi ketua keluarga untuk membesarkan kamu," ujar @sapikah.
"Semoga budak itu mendapat pengajaran atas kejadian yang berlaku dan supaya anak itu terus berbakti kepada orang tuanya," ciap @DeliStanz. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram