HUTANG emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati, itulah perumpamaan yang tepat untuk ditujukan buat adik beradik lelaki selepas tular menggendong ibunya berumur 89 tahun di dalam bakul di China baru-baru ini.
Dua beradik yang bernama Chen Chuan, 58, dan adiknya Chen Li, 55, dilaporkan bergilir-gilir membawa ibunya itu ke hospital dengan menggunakan bakul besar.
Mereka dikatakan terpaksa menggunakan kaedah yang sukar itu kerana ibunya mengalami mabuk kenderaan dan sakit kepala apabila duduk di kerusi roda.
Menurut isteri Chen Li, Zhang Qingrong, dua beradik itu terfikir untuk menggunakan bakul untuk membawa ibunya ke hospital selepas mengadu tidak sihat pada 23 Oktober.
"Sebelum ini mereka membawanya di belakang mereka tanpa bakul atau memeluknya dalam perjalanan ke hospital.
"Jadi, dia berasa lebih baik kali ini di dalam bakul," katanya.
Zhang berkata, adik-beradik itu pernah bekerja di bandar lain tetapi pada 2022, mereka pulang ke kampung halaman di Chongqing dan membuka restoran mi supaya dapat menjaga ibu setiap hari.
Chen Chuan dan Chen Li yang bergilir-gilir membawa ibunya ke hospital dengan berjalan kaki.
“Kita wajib melakukan kebaikan sebagai anak. Ini tanggungjawab kita sebagai anak dia. Ibu menjaga kami semasa kami kecil dan kami harus menjaganya apabila dia sudah tua,” kata Zhang.
Bukan itu sahaja, dua beradik tersebut juga dikatakan mengambil masa lebih 20 minit untuk sampai ke destinasi dengan berjalan kaki dari tempat kediamannya.
Dalam video sama, mereka dilihat berhenti seketika untuk berehat dan salah seorang daripadanya menepuk-nepuk pinggangnya sendiri untuk menghilangkan keletihan.
Pada masa sama, situasi tersebut juga sempat dirakam oleh orang awam sekitar lokasi berkenaan dan klip video itu telah meraih 1.4 juta likes (suka) dan menerima 60,000 komen.
Rata-rata warganet tersentuh dengan perbuatan dua beradik yang dilihat sangat menghargai serta mengenang jasa ibu yang telah melahirkannya.
“Mungkin bakul buluh ini digunakan untuk membawa dua beradik oleh ibu mereka ketika mereka masih kecil. Ibu sakit secara fizikalnya tetapi gembira di dalam hatinya. Thumbs-up (tanda bagus) untuk dua beradik itu.
“Kasih sayang mereka kepada ibu mereka sungguh mengharukan! Saya harap semua orang dapat melayan ibu bapa mereka dengan cara ini,” komen beberapa warganet.
Sebelum ini, seorang lelaki berusia 67 tahun diberi ganjaran oleh kerajaan perbandaran Tianjin di timur laut China sebagai contoh anak terbaik kerana menghabiskan sembilan tahun menjaga ibunya yang sakit sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 2022. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram