[VIDEO] Vokalis Kris terlibat kemalangan, penunggang motor maut di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 26 Okt 2023

Tangkap layar kejadian seorang penyanyi, Alim terlanggar penunggang motosikal berhampiran Unipsas, Pahang pada Khamis.

VOKALIS Kumpulan Kris, Alim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohd Bukhari, 53 terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran susur Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas), Kuantan, Pahang pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, kereta jenis BMW dipandu penyanyi tersebut dipercayai terlanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh Eddy Kusmiran Ambi, 61 sehingga meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penyanyi lagu Tiara itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika penyanyi itu memandu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Rompin.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari arah sama dipercayai mengubah lorong secara tiba-tiba dari kiri ke laluannya di sebelah kanan.

"Ekoran jarak terlalu dekat, vokalis Kris itu gagal mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut menyebabkan penunggangnya, seorang buruh binaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram