[VIDEO] Tak puas hati diminta betulkan uniform, pelajar sampai buka baju ajak guru bertumbuk


  • Benua
  • Khamis, 26 Okt 2023

Tangkap layar memaparkan seorang pelajar sekolah menengah dekat Kalimantan Tengah, Indonesia yang cuba mengajak gurunya bertumbuk kerana berang ditegur tentang pakaian seragam sekolahnya.

HANYA gara-gara berang ditegur tentang pakaian seragam sekolahnya, seorang pelajar bertindak agresif dengan mengajak gurunya untuk bertumbuk di Indonesia.

Berdasarkan video yang dikongsikan di laman Instagram pada Khamis, kelihatan pelajar lelaki itu dengan angkuhnya membuka butang baju sekolah sambil mencabar guru tersebut untuk beradu kekuatan dengannya.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Kecamatan Dusun Selatan, Kabupaten Barito Selatan, Kalimantan Tengah, Indonesia.

"Marilah kalau berani," cabar pelajar itu sambil mengepalkan jari menjadi penumbuk.

Guru berkenaan bagaimanapun kekal tenang dan enggan melayan kerenah anak muridnya.

Dia malah bertindak sedaya upaya menenangkan pelajar itu yang sedang dalam keadaan marah.

"Ini bukan tentang sama ada kamu ini berani atau tidak," jawabnya dengan nada perlahan.

Walaupun cikgu lelaki tersebut cuba bertenang, pelajar berkenaan dilihat semakin nekad untuk mengajak cikgunya bergaduh.

“Jom, jom, jom,” cabarnya lagi.

Namun, guru itu tetap tegas dan tidak terpengaruh dengan kata-kata anak muridnya.

Bagaimanapun, difahamkan pelajar tersebut dan ibu bapanya dipanggil pihak sekolah untuk diambil tindakan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram