SEKURANG-kurangnya 22 orang terbunuh sementara antara 50 hingga 60 lagi cedera pada Rabu kes tembakan di beberapa lokasi dekat Lewiston, Maine, Amerika Syarikat (AS) lapor NBC News.
Jabatan Polis Lewiston menerusi hantaran di Facebook memaklumkan suspek terlibat dalam insiden itu dikenali sebagai Robert Card, 40.
Polis sebelum itu menyiarkan tiga keping gambar suspek yang menunjukkannya memegang senapang separa automatik, selain gambar kenderaan utiliti sukan (SUV) putih.
Sebelum itu, kehadiran suspek di tempat serangan itu dikesan dekat restoran dan pusat boling.
Pejabat Syerif Daerah Androscoggin juga menyiarkan gambar suspek yang dipaparkan sebagai seorang lelaki berjanggut dan mengenakan jaket hoodie coklat dan seluar jeans dalam keadaan memegang senapang dengan posisi menembak.
"Terdapat penembak aktif di Lewiston," kata polis negeri Maine sebelum ini di platform media sosial X.
"Kami meminta orang ramai untuk berlindung di tempat. Sila tinggal di dalam rumah anda dengan pintu berkunci. Pihak berkuasa sedang melakukan siasatan di beberapa lokasi," katanya.
The Sun Journal, memetik jurucakap polis Lewiston, melaporkan tembakan itu berlaku di tiga lokas berasingan iaitu membabitkan pusat boling rekreasi, restoran Bar & Grille Schemengees dan pasar raya, Walmart.
Lewiston merupakan kawasan yang terletak kira-kira 56 km dari utara bandar terbesar Maine, Portland.
Kawasan tersebut pernah menjadi hab tekstil dan yang mempunyai penduduk seramai 38,000 orang.
Sekiranya jumlah kematian seramai 22 itu dapat disahkan, ia menjadi kes pembunuhan beramai-ramai paling buruk pernah direkodkan di AS bagi tempoh sejak Ogos 2019.
Insiden pada empat tahun lalu menyaksikan seorang seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pembeli di El Paso, Walmart dengan senapang AK-47 dan membunuh seramai 23 orang.
Jumlah 22 kematian juga dilihat sebagai angka yang serupa seperti pernah direkodkan di Maine untuk beberapa kes tembakan tahun sebelum ini.
Berdasarkan rekod Polis Maine, bilangan kematian tahunan akibat kes tembakan di negeri itu sentiasa berubah antara 16 dan 29 sejak 2012.
Kes tembakan di AS yang melibatkan empat atau lebih kematian dilaporkan meningkat sejak wabak Covid-19 bermula pada 2020.
Sebanyak 647 mangsa meninggal dunia akibat kes serupa pada 2022 dan manakala unjuran pada 2023 pula dijangka mencecah 679 kematian, jika diambil kira trend setakat Julai lalu.
Kejadian tembakan paling buruk pernah direkodkan di AS terjadi di festival muzik Las Vegas pada 2017 yang menyaksikan kematian sebanyak 58 mangsa.
Dalam insiden tersebut, penembak melakukan tembakan dari atas sebuah hotel di bertingkat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram