[VIDEO] Penumpang terkejut jumpa tikus dalam dapur tren, tambah naik angin dengar jawapan pengurus stesen


  • Benua
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan dua ekor tikus di dapur dalam sebuah gerabak kereta api di India pada Ahad.

DEMI menjaga keselamatan diri, seorang penumpang sempat merakam keadaan sebuah dapur dalam kereta api yang dimasuki dua ekor tikus di Mumbai, India pada Ahad.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram oleh @mangirish_tendulkar pada Rabu, dia dalam perjalanan bersama keluarganya menaiki tren LTT Madgaon Express sebelum merakam dua ekor tikus sedang makan daripada salah satu mangkuk dalam dapur kereta api tersebut.

Pada masa sama, pemilik video yang bernama Tendulkar itu juga sempat meluahkan rasa kecewanya terhadap stesen kereta api itu kerana tidak peka terhadap kebersihan makanan.

“Sebagai peminat kereta api dan kerap bersiar-siar, kejadian ini amat meresahkan saya,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, Tendulkar berkata, kerana minatnya terhadap kereta api, dia ingin merakam dokumentari tentang enjin kenderaan itu dan mengambil keputusan untuk pergi ke arah belakang kereta api sebelum membuat penemuan yang lebih mengejutkan.

Menurutnya, sekurang-kurangnya enam hingga tujuh ekor tikus berada di dalam dapur namun dia hanya berjaya merakam empat daripadanya.

Tidak berdiam diri, Tendulkar juga berkata, dia mengadu kejadian itu kepada pegawai Railway Protection Force (RPF) namun dimaklumkan bahawa terdapat beratus-ratus tikus di bawah landasan dan tidak menjadi masalah jika beberapa ekor daripada haiwan itu memasuki kereta api.

Bukan itu sahaja, Tendulkar kemudian menghampiri Penolong Ketua Stesen Meena dan masih kecewa dengan jawapan yang diterimanya.

"Memang terdapat banyak tikus di dalam dapur. Apa yang boleh kita lakukan mengenainya? Kereta api ini selalu menyediakan koc yang tidak berkualiti," kata pengurus tersebut.

Justeru, Tendulkar akhirnya membuat keputusan untuk memfailkan aduan di aplikasi Rail Madad sebelum video tersebut juga tular di media sosial.

"Saya telah diyakinkan oleh seorang eksekutif Rail Madad yang dia akan menghukum Perbadanan Katering dan Pelancongan Keretapi India (IRCTC), tetapi soalan utama saya kepada @irctc.official @ashwini.vaishnaw, adakah ini latihan yang diberikan kepada RPF untuk bercakap dengan penumpang tentang keselamatan mereka sendiri.

"Ada beberapa pekerja kamu yang menjaga tiket cuba memadamkan video itu dan bukannya memberikan saya panduan yang betul. Adakah kami tidak berhak mendapat makanan yang bersih dan selamat sepanjang perjalanan?," tulisnya dalam hantaran yang dikongsikan di Instagram itu.

Sementara itu, pihak IRCTC juga dilaporkan telah mengambil tindakan serius terhadap kejadian dengan membalas komen pada video yang tular itu.

"Perkara itu dipandang serius dan tindakan sewajarnya telah diambil. Kakitangan kereta api itu telah dimaklumkan untuk memastikan kebersihan dan kebersihan di dalam dapur.

"Pihak yang berkenaan telah dinasihatkan untuk memastikan kawalan perosak yang berkesan serta langkah keselamatan yang sesuai sedang dijalankan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram