[VIDEO] Nelayan protes, mengamuk baling bekas kosong tak dapat isi minyak subsidi


  • Benua
  • Rabu, 18 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan beberapa bekas kosong yang dibaling oleh dua orang nelayan di Indramayu, Indonesia pada Rabu.

DUA orang nelayan bertindak membaling beberapa bekas kosong sebagai tanda protes tidak dapat mengisi minyak diesel bersubsidi di Indramayu, Indonesia pada Rabu.

Tindakan yang dianggap keterlaluan itu juga berlaku kerana para nelayan tersebut kesal kerana sudah bekerja dari subuh demi mendapatkan minyak.

Bukan hanya itu, mereka juga dipercayai kecewa dengan peraturan baharu iaitu perlu melalui aplikasi yang dikhususkan untuk mengisi minyak diesel di Stesen Pengisian Bahan Bakar Umum Nelayan (SPBUN) Koperasi Perikanan Laut (KPL) di Mina Sumitra Karangsong, Indramayu.

Ini kerana peraturan baharu itu menyatakan nelayan yang mahu mengisi minyak diesel perlu mempunyai nombor telefon, e-mel sah, gambar dan swafoto pemilik kapal.

Ekoran itu, salah seorang nelayan yang bernama Warkija, 50, meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana dihalang untuk membeli minyak diesel pada ketika itu.

"Tadi saya dilarang, padahal saya bukan mahu mengambilnya malah mahu beli," katanya.

Warkija berkata, peraturan baharu itu sangat merumitkan para nelayan kecil seperti dirinya apatah lagi dia baru sahaja menyadarinya pada waktu itu.

Katanya, tiada sebarang pengumuman mengenai penggunaan peraturan baharu itu daripada pihak Pertamina.

Selain itu, Warkija dan nelayan lain difahamkan masih mudah untuk mendapatkan diesel hanya dengan membawa kad E-Pas Kecil dan kad pengenalan sah atau KTP.

"Nanti akan keluar rekomendasi dan kod bar daripada petugas untuk pembelian itu.

"Dalam pembelian pun juga boleh diwakili oleh isteri atau anak tanpa saya datang di stesen minyak itu tetapi sekarang peraturannya sangat rumit," tambahnya.

Sementara itu, pengurus SPBUN KPL Mina Sumitra, Tasuka berkata, pihaknya tidak dapat mengambil sebarang tindakan berhubung kejadian berkenaan.

"Memandangkan peraturan ini belum pernah diwar-warkan kepada mereka, jadi saya pun tidak tahu," katanya. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram