[VIDEO] Gara-gara pokok durian ditebang, polis terpaksa selamatkan lelaki hampir dipukul satu kampung


  • Benua
  • Ahad, 15 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan kerusuhan yang berlaku sehingga memaksa penglibatan sepasukan besar anggota polis bagi mengiringi lelaki terbabit keluar dari kawasan balai raya tersebut.

TINDAKAN seorang lelaki melahirkan rasa tidak puas hati selepas pokok duriannya ditebang membawa padah selepas dia nyaris dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan penduduk kampung.

Lebih mengejutkan, ketegangan yang tercetus dalam insiden di Desa Purwosari, Kecamatan Wonoboyo, Temanggung, Indonesia itu menyebabkan individu tersebut perlu diiring oleh sepasukan besar anggota polis.

Difahamkan, sebelum itu, individu terbabit tampil di balai raya kampung terbabit untuk bertemu dengan beberapa pimpinan kawasan tersebut bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Bagaimanapun, pertemuan tersebut ternyata turut menarik kedatangan ramai penduduk kampung yang tampil ke tempat tersebut dipercayai akibat tidak terlampau berpuas hati dengan lelaki berkenaan.

Lebih mengejutkan, situasi itu menyebabkan situasi menjadi lebih panas sehingga memaksa kehadiran sepasukan besar anggota polis di lokasi.

WhatsApp Image 2023-10-14 at 11.40.06 PM (1)

Pokok durian milik lelaki terbabit yang dipercayai dipotong sebahagian pohonnya oleh penduduk setempat. — Agensi

Menerusi video tular dikongsikan mengenai kejadian berkenaan, lelaki tersebut dilihat dikawal begitu ketat untuk dibawa keluar daripada kawasan berkenaan untuk menuju ke kereta polis.

Berdasarkan klip sama, segerombolan besar penduduk kampung juga didapati bertindak begitu agresif cuba menyerang termasuk dengan menjerit dan membaling batu kecil ke arah individu terbabit.

Dalam pada itu, pegawai polis daerah Temanggung, Budi Rahardjo berkata, ketegangan itu berawal daripada tindakan lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati selepas melihat pokok durian berdekatan rumahnya ditebang oleh masyarakat setempat.

Difahamkan, tindakan penduduk itu dibuat kerana pohon daripada pokok terbabit dipercayai menjulur sehingga menganggu laluan jalan raya di desa berkenaan.

Namun, Budi memaklumkan isu tersebut kemudiannya dapat diselesaikan dengan baik selepas perbincangan yang dilakukan bersama beberapa pimpinan kampung terbabit.

"Sebetulnya hasil daripada perbincangan lelaki tersebut dan wakil desa sudah pun mencapai kesepakatan.

"Tapi disebabkan penduduk kampung yang hadir di balai raya tersebut tidak dapat mengawal emosi, lelaki berkenaan terpaksa dibawa keluar dengan bantuan polis dari balai raya terbabit," ujarnya.

Jelas Budi, keadaan di kampung tersebut juga kini sudah kembali aman selepas penduduk mendapat penjelasan muktamad berhubung perbincangan yang dibuat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram