SERANGAN bertubi-tubi Briged Al-Qassam terbukti dapat menggagalkan kubu pertahanan Israel atau dikenali sebagai 'Iron Dome' yang bernilai AS$1 bilion (RM4.7 bilion) pada Sabtu.
Menerusi video tular di media sosial sejak Sabtu, ratusan rakyat Israel dilihat bertempiaran lari ketakutan mencari tempat pelindungan dan beberapa pendatang sanggup menyembunyikan diri di dalam tong sampah berdekatan susulan bedilan tentera militan Hamas.
Ekoran serangan itu, Israel turut mengisytiharkan perang terhadap Palestin sebagai serangan tindak balas yang dilancarkan ke atas negara tersebut.
Profesor Perhubungan Antarabangsa dan Rakan Bersekutu Chatham House, Yossi Mekelberg mendedahkan kepada media antarabangsa bahawa serangan mengejut daripada Hamas itu menandakan satu 'peningkatan mendadak' dalam hubungan Israel-Palestin.
"Ini perkara yang tidak terjangka kerana Hamas berjaya memasuki bandar, kampung dan kawasan lain.
“Justeru, Israel mengalami kegagalan penuh termasuk kegagalan operasi kerana mereka berjaya memasuki negara itu dengan begitu mudah, jadi ia sesuatu yang sangat memalukan dan dilihat sebagai cabaran besar dari sudut keselamatan.
"Hamas mungkin berasakan kelemahan di Israel dan isu Palestin telah ditolak oleh komuniti antarabangsa. Dalam sistem politik Palestin, mereka melihat sedikit harapan untuk berubah dan ada kekecewaan di situ," katanya.
Mekelberg berkata, dia tidak percaya tarikh itu adalah sebuah kebetulan kerana 7 Oktober menandakan Ulang Tahun ke-50 Perang Yom Kippur antara Israel dan Palestin.
"Hari ini hari cuti bagi rakyat Yahudi. Ia juga hari perayaan Sabat, jadi ini masa yang sesuai untuk berbuat demikian dan Hamas mungkin berjaya melampaui batas mereka," tambahnya.
Israel yang terkenal dengan senjata berteknologi tinggi dan sistem pertahanan yang kuat termasuk dron yang merevolusikan medan perang juga telah mencipta kenderaan tanpa pemandu robotik futuristik yang mengawal sempadan Semenanjung Gaza.
Bukan itu sahaja, negara berteknologi tinggi itu telah melancarkan satelit pengintip pertamanya ke angkasa lepas pada 1988 dan mendapat keahlian dalam kelab eksklusif yang terdiri daripada lapan negara dengan keupayaan pelancaran satelit bebas.
Namun begitu, kegagalan sistem pertahanan ironclad Israel yang dikatakan 90 peratus berkesan untuk menjatuhkan sasaran mendapat perhatian ramai ekoran serangan yang telah dilancarkan oleh Palestin.
Berang dengan serangan Palestin, jet Israel melancarkan serbuan ke atas sasaran Hamas di Gaza City serta menyerang rumah ketua kumpulan itu sebagai sebahagian daripada operasi 'Pedang Besi' iaitu bertujuan untuk membalas dendam.
Serangan balas yang dilakukan oleh Israel di Gaza City pada Sabtu petang.
Pada masa sama, berpuluh-puluh jet pejuang Pasukan Pertahanan Israel turut melancarkan serangan ke atas 17 pekarangan tentera dan empat pusat perintah operasi milik tentera Hamas.
Menurut laporan media antarabangsa, Israel mengesahkan bahawa orang awam dan tenteranya telah dijadikan tebusan oleh pihak Hamas berhampiran Sempadan Gaza.
Israel mendakwa ratusan rakyat dan tenteranya ditahan oleh pihak Hamas.
Manakala, seorang pemimpin kanan Hamas memaklumkan kumpulan tersebut menangkap tentera Israel bagi mendesak pihak berkuasa Israel membebaskan semua tahanan Palestin di penjaranya.
Pemimpin kanan Hamas, Saleh al-Arouri berkata, pasukannya mempunyai tawanan Israel yang mencukupi untuk memaksa pembebasan kira-kira 5,000 tahanan Palestin.
David Khalfa, Pengarah bersama Afrika Utara dan Balai Cerap Timur Tengah di badan pemikir Perancis Yayasan Jean-Jaurès memberitahu media antarabangsa lain bahawa Hamas mengambil kesempatan daripada kelemahan Israel.
Menurutnya, pergolakan politik baru-baru ini di Israel termasuk rusuhan ganas mungkin menyebabkan agensi perisikan tidak fokus kepada Gaza dan lebih tertumpu kepada hal-hal negara itu sendiri.
"Ia adalah satu kegagalan besar bagi pasukan perisikan Israel dan kegagalan ini boleh digambarkan sebagai kegagalan yang bersejarah.
“Israel adalah sebuah negara yang sentiasa berjaga-jaga, bersedia untuk berperang pada bila-bila masa. Ia sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.
"Adalah jelas bahawa terdapat tahap ketidaksediaan tertentu, mungkin kesilapan dalam analisis dan anggaran di pihak perkhidmatan perisikan Israel, malah dalam penyediaan pasukan khas Israel juga," katanya.
Mereka menyerang Gaza City dengan serangan udara sebelum Hamas kemudian membalas dengan 150 roket lagi.
Keseluruhan blok bangunan di Gaza juga telah runtuh dalam letupan bom selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan perang balas hebat.
Serangan roket yang dilancarkan oleh Hamas pada Sabtu pagi.
Pada Sabtu, kumpulan terbabit telah melancarkan lebih 5,000 roket bermula dari pukul 6:30 pagi waktu tempatan secara berterusan selama hampir setengah jam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram