[VIDEO] Dua backpacker nyaris rentung, e-skuter tiba-tiba terbakar


  • Benua
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan api yang menyambar keluar dari bilik dua mangsa kebakaran di Sydney pada Rabu.

DUA orang lelaki yang juga pengembara (backpacker) bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri selepas sebuah e-skuter dipercayai terbakar di sebuah asrama di Darlinghurst, Sydney, Australia pada Rabu.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat New South Wales (NSW) di Twitter (X) pada hari yang sama, dua mangsa bertindak melarikan diri keluar dari sebuah bilik dengan pantas selepas melihat api yang tiba-tiba muncul dalam kejadian itu.

Rakaman itu juga menunjukkan seorang lelaki berdiri di luar bilik sambil memegang kasut dan sejurus kemudian, seorang lagi lelaki keluar dengan keadaan panik sebelum api menyambar keluar dari bilik tersebut.

Susulan kejadian itu, sebanyak enam trak bomba dan 26 anggota dikerahkan untuk mengawal kebakaran.

"Nasib baik, kebakaran hanya dapat dikawal satu bilik, namun kesemua penghuni asrama berkenaan, kira-kira 70 orang pengembara terpaksa mengosongkan tempat itu," katanya.

Sementara itu, seorang salah seorang mangsa mengalami kecederaan kaki dan telah dibawa ke Hospital St Vincent, lapor media antarabangsa.

Klip yang dikongsikan oleh pihak bomba NSW berjaya meraih hampir 62,000 tontonan itu turut mengundang kebimbangan orang ramai.

“Dua pengembara bernasib baik melarikan diri dari api bateri Lithium-ion di sebuah asrama di Darlinghurst, Sydney pagi ini yang dipercayai berpunca daripada sebuah e-skuter yang meletup,” tulisnya bersama video kejadian itu.

Anggota bomba turut percaya bahawa bateri Lithium-ion e-skuter yang rosak menyebabkan kebakaran selepas kenderaan itu dibiarkan dalam pengecasan.

“Ada peluang untuk kemas kini tentang jenama dan keadaan e-skuter ini? Jika jenama yang murah, ini harus dijelaskan.

"Jika sebelum ini tidak rosak dan jenama terkenal, mereka harus terangkan juga. Kenapa skuter ada di dalam hotel?

"Ini sangat menakutkan," tulis beberapa pengguna X.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menyiasat berhubung kejadian tersebut setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram