SEBUAH masjid terletak di tenggara Sweden musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat oleh puak pelampau.
Pengarah Komunikasi Masjid Besar di bandar Eskilstuna, Sweden itu, Anas Deneheche memberitahu Sveriges Radio, beliau percaya kebakaran pada awal pagi Isnin itu dicetuskan secara senjaga oleh pihak tidak bertanggungjawab..
Beliau berkata, rekod polis menunjukkan masjid itu berdepan ancaman selama lebih setahun dan turut pernah diserang sebelum ini.
Menurut Deneche, ibunya juga ada mendengar bunyi yang kuat sebelum kebakaran berlaku.
“Dia ada terdengar bunyi letupan dan secara tiba-tiba melihat kebakaran mula berlaku,” katanya.
Polis pada Selasa berkata, masih tiada sebarang suspek dikenal pasti dalam insiden tersebut, namun siasatan dijalankan dengan ia disyaki berpunca daripada perbuatan khianat.
Dalam pada itu, seorang ahli Parlimen Sweden, Mikail Yuksel menyifatkan insiden tersebut sebagai satu lagi serangan keganasan yang ditujukan kepada umat Islam di negara tersebut.
"Sekali lagi keganasan tercetus dengan serangan terhadap sebuah masjid di Sweden.
"Ini adalah satu lagi serangan kejam terhadap hak asasi manusia, dan kepada demokrasi serta kebebasan di negara yang secara rasmi dikenali sebagai yang palinG ke hadpan dalam isu kemanusiaan," tulisnya di platfrom X.
Sejak beberapa tahun lalu, terdapat beberapa serangan dilakukan terhadap masjid-masjid Sweden.
Serangan sedemikian yang berlaku pada 2014 turut menyasarkan beberapa bandar, termasuk Eskilstuna.
Insiden pada Isnin lalu berlaku beberapa bulan selepas seorang lelaki membakar teks al-Quran di ibu negara Sweden sehingga mencetuskan bantahan di seluruh dunia.
Seorang lelaki Iraq berusia 37 tahun yang tinggal di Sweden, Salwan Momika bertindak mengoyakkan beberapa muka surat kitab suci itu, dan memijaknya serta meletakkan halaman muka surat itu di luar masjid terbesar di ibu negara Sweden.
Arab Saudi, Iran, Iraq, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu, Maghribi dan Mesir adalah antara beberapa negara majoriti penduduk Islam yang mengecam perbuatan berkenaan.
Di Iraq, kedutaan Sweden negara itu diserang oleh penyokong pemimpin Syiah Iraq, Muqtada al-Sadr berikutan insiden terbabit, manakala ribuan orang turun ke jalan dekat Baghdad untuk berhimpun membantah pembakaran al-Quran.
Insiden pembakaran al-Quran itu bukan yang pertama berlaku di Sweden dengan rusuhan turut tercetus pada Ogos 2020 di bandar Malmo beberapa jam selepas aktivis anti-Islam sayap kanan, Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram