[VIDEO] Tembelang lelaki tunjuk 'power' duduk dalam kandang singa akhirnya terbongkar, rupanya memang penjaga zoo


  • Benua
  • Selasa, 03 Okt 2023

Tangkap layar video tersebut yang tular di beberapa negara Afrika baru-baru ini.

TULAR di sosial media satu video memaparkan seorang lelaki Afrika didakwa seorang paderi sedang berada di dalam sebuah kandang singa sambil bermain-main dengan haiwan tersebut.

Menerusi perkongsian berkenaan, lelaki yang memakai sut berwarna biru itu didakwa melakukan aksi tersebut kerana mahu menunjukkan keajaiban yang mampu dilakukan sebagai seorang paderi.

Maklumat disebarkan di sosial media mengatakan bahawa lelaki itu seorang paderi gereja cuba yang mencipta semula kisah terkandung dalam kita bible dalam usaha untuk membuktikan kuasa dimilikinya kepada pengikut.

Video itu telah dikongsi secara meluas sejak minggu lalu di Ghana dan Nigeria, namun ia dipercayai berlaku di Somalia.

Di Kenya, sebuah stesen televisyen tempatan telah berkongsi video itu di akaun media sosialnya.

Ia turut menarik perhatian ahli Parlimen Kenya, Ronald Karauri, yang dilihat mempercayai kisah tersebut.

"Saya secara sukarela untuk membawanya ke Maasai Mara (taman negara), semua perbelanjaan dibayar. Kami mencari singa dan dia boleh pergi berjalan bersama mereka," tulisnya menerusi ciapan di X.

Dalam pada itu, BBC dalam laporannya mengesahkan bahawa lelaki dalam video tersebut bukanlah seorang paderi seperti didakwa.

Katanya, video yang mula dimuat naik di Youtube pada 2021 itu dirakamkan di taman pelancongan dekat ibu negara Somalia, Mogadishu, iaitu tempat yang memelihara singa dilihat dalam klip berkenaan.

Lelaki berkenaan juga difahamkan adalah seorang penjaga zoo bernama Mohamed Abdirahman Mohamed dan sudah bekerja di taman tersebut sejak lapan tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram