[VIDEO] Elak risiko kepala air berulang, bomba pertimbang guna dron cari baki 8 mangsa lemas Jeram Mawar


  • 112
  • Isnin, 03 Jul 2023

Keadaan salah seorang mangsa yang ditemukan tersangkut di atas kayu di tebing sungai. — Telegram

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang hilang di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu terpaksa dihentikan lebih awal petang Ahad kerana dikhuatiri kepala air mungkin berulang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, operasi hari pertama terpaksa ditamatkan pada 6 petang berikutan hujan lebat di lokasi SAR.

Azman berkata, seramai 37 anggota termasuk pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, BBP Kemaman, BBP Cheneh, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikerah untuk operasi SAR yang bermula kira-kira 3 petang Ahad.

"Selain cuaca buruk dan tidak menentu, kita juga terpaksa menamatkan operasi SAR lebih awal kerana bimbang ancaman binatang buas memandangkan kawasan jeram ini kawasan hutan simpan yang menjadi habitat haiwan liar," katanya yang dihubungi Bernama pada Ahad.

photo1688299682 (1)

Keadaan kereta mangsa kesan daripada kepala air yang berlaku di lokasi kejadian. — Twitter

Menurut Azman, pihaknya menjangkakan terdapat pertambahan anggota dan kelengkapan untuk operasi SAR yang akan bersambung 8 pagi pada Isnin.

Katanya, pihaknya telah memohon untuk mendapatkan bantuan anjing pengesan Unit K9 pihak bomba dan polis untuk mencari kesemua mangsa yang hilang.

"Kita turut mohon bantuan anggota Pasukan Gerakan Am dan penggunaan dron juga mungkin perlu untuk usaha pencarian," katanya.

2156427

Sembilan mangsa disahkan daripada keluarga sama, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti.

Azman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di lokasi yang berisiko berlaku fenomena kepala air dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dilaporkan mengesahkan seorang wanita, Azizah Eiyi, 40, dan anak lelakinya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, berusia 11 tahun ditemukan lemas.

Sementara itu, lapan individu masih hilang dalam kejadian kepala air berkenaan dengan tujuh daripadanya disahkan daripada keluarga yang sama dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram