[VIDEO] Nasib tak sempat tukar baju, wanita meraung lelaki berpurdah ikut masuk surau


  • Benua
  • Ahad, 01 Okt 2023

Rakaman video lelaki berjubah yang sempat dirakam oleh wanita yang terlibat dalam kejadian tersebut.

TULAR sebuah video lelaki berjubah hitam dipercayai mengekori seorang wanita dari tandas hingga ke surau dalam kejadian di Indonesia baru-baru ini.

Menerusi video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki berjubah dan berniqab ditangkap oleh wanita berkenaan bersama beberapa orang awam di surau.

Video yang dikongsikan di Twitter (X) oleh @jllmisai pada Ahad juga kedengaran suara mangsa menangis teresak-esak kerana ketakutan setelah diekori lelaki berpakaian menyerupai wanita terbabit.

Dalam video yang berdurasi lebih tiga minit itu, beberapa orang awam dilihat cuba untuk membantu wanita tersebut untuk berkomunikasi dengan lelaki berjubah hitam itu.

Orang awam juga dilihat memaksa untuk lelaki itu mengaku dan membuka niqab yang dipakainya di tempat kejadian pada ketika kejadian.

Melalui video sama, wanita itu juga dilihat bertindak membuka ikatan niqab yang dipakai oleh lelaki berkenaan untuk memastikan jantina pelaku dalam kejadian itu.

Selepas mendapati individu tersebut merupakan seorang lelaki, kedengaran suara wanita itu menjerit dan menangis mungkin kerana menyedari auratnya sudah dilhat lelaki berkenaan.

Dalam pada itu, salah seorang orang awam turut dilihat menarik tudung yang dipakai oleh pelaku itu secara kasar dan menyoal siasatnya dalam kejadian itu.

"Kenapa buat begini? Kenapa berpakaian seperti ini? Bawa mengucap," katanya.

Setelah diasak, lelaki tersebut akhirnya meminta maaf kepada wanita berkenaan dan kesemua saksi yang berada ketika itu.

Di akhir video itu juga memaparkan lelaki tersebut dibawa keluar daripada surau wanita oleh beberapa orang awam yang berada pada waktu itu.

Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki tersebut dan meluahkan rasa simpati kepada wanita yang menjadi mangsa keadaan itu.

"Orang seperti ini tidak layak untuk menjadi seorang ayah mahupun jadi suami. Nafsunya ganas, sanggup buat kerja gila demi nak puaskan nafsu serakah," komen @pakmatHQ.

"Dengar suara perempuan itu menangis terus terasa di hati ikut sebak sekali, yelah maruah dia, tak guna punya lelaki," tulis @fatihahnzmr.

Buat masa ini, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa Indonesia berkenaan kejadian yang berlaku itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram