[VIDEO] Kembang anak tekak, pekerja restoran bancuh jus oren dekat sinki mop lantai


  • Benua
  • Rabu, 06 Sep 2023

Tangkap layar video berkenaan yang memaparkan pekerja restoran membancuh jus oren berkenaan di sinki menemaptkan alatan mop lantai di China. — Agensi

SEBUAH restoran di China mencetuskan kontroversi selepas pekerjanya dirakam membancuh air jus oren di sinki paip yang digunakan bagi menyimpan mop lantai.

Video tular yang mendedahkan mengenai perkara tersebut direkodkan oleh seorang pelanggan di restoran berkenaan yang berpangkalan di Wenzhou, wilayah Zhejiang, Timur China.

Berdasarkan klip tular itu, pekerja restoran terbabit dilihat sedang membancuh jus oren dengan menambahkan air paip dari sinki yang menempatkan alatan mop lantai.

Turut kelihatan di di dalam sinki tersebut adalah beberapa batang mop yang sedang digantung.

"Mereka hanya menggunakan air paip untuk membuat jus oren untuk kita," jerit lelaki yang merakam video tersebut untuk memberitahu pelanggan lain.

Susulan daripada itu, salah seorang pekerja restoran tersebut dilihat cuba menghalang lelaki berkenaan daripada meneruskan rakaman.

Insiden tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai di Wenzhou memandangkan jus oren merupakan antara minuman paling popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di daerah tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Ogos lalu, Restoran Tianye memohon maaf atas insiden tersebut dan turut menyalahkan kecuaian penyeliaan pengurusan di rangkaian restoran tersebut.

Malah, pengurus restoran terbabit dilaporkan kini diturunkan pangkat manakala pekerja yang terlibat pula digantung kerja serta ditempatkan dalam program latihan kebersihan makanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram