[VIDEO] Jarak dengan maut hanya beberapa meter, ibu keluar rumah ambil kasut anak nyaris disambar petir depan mata


  • Benua
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan insiden tersebut yang menyaksikan Tiffany berada tidak jauh daripada petir yang menyambar sebuah pokok di hadapan rumahnya.

SEORANG ibu yang sedang keluar untuk ke halaman rumah bagi mengambil kasut anaknya berdepan dengan detik menakutkan selepas nyaris disambar petir.

Kejadian tersebut berlaku di kawasan perumahan bahagian Utara Rapid, South Dakota, Amerika Syarikat (AS), pada Khamis lalu sekitar pukul 5 petang, iaitu waktu ketika cuaca ribut dijangka melanda bandar berkenaan.

Insiden melibatkan wanita dikenali sebagai Tiffany Returns itu turut dirakam menerusi kamera keselamatan yang berada di hadapan kediaman terbabit.

Berdasarkan klip tersebut, petir berkenaan dilihat menyambar sebuah pokok yang berada di halaman hadapan rumah berkenaan, iaitu hanya beberapa meter daripada kedudukan Tiffany.

Pada waktu itu, wanita terbabit baru sahaja keluar dan berada betul-betul di hadapan pintu depan rumah..

Panahan petir itu juga boleh dilihat pantulan yang terhasil melalui tingkap kereta yang diletakkan di depan kediaman terbabit.

Susulan daripada kejadian yang boleh membawa maut itu, Tiffany dilihat terus berlari masuk ke dalam rumah.

Meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan, difahamkan dia mengalami lemah badan dengan telinganya turut berdesing selama kira-kira lima minit selepas insiden berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram