[VIDEO] Sembilan perompak 'berhoodie' tak menang tangan bawa lari beg Gucci


  • Benua
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan lelaki melarikan diri setelah disyaki merompak butik Gucci di pusat beli-belah Westfield Century City di Beverly Hills, Los Angeles, California pada Isnin.

BUTIK jenama fesyen mewah global, Gucci yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Beverly Hills, Los Angeles, California dilaporkan dirompak oleh sekumpulan individu pada Isnin lalu.

Video kejadian yang berlaku sekitar pukul 3:10 petang itu dirakam oleh orang awam, sebelum dimuat naik di laman sosial.

Rakaman tersebut memaparkan sekurang-kurangnya sembilan lelaki dilihat memakai hoodie dan bergegas keluar dari pintu masuk butik dengan setiap seorang memegang hasil rompakan masing-masing.

Berdasarkan video itu, tidak jelas sama ada suspek memiliki senjata atau terdapat mangsa yang mengalami kecederaan.

Bilangan perompak yang terlalu ramai menyebabkan pengawal keselamatan di butik berkenaan tidak mampu berbuat apa-apa, selain hanya dapat memerhati mereka meloloskan diri.

Dalam masa sama, kelihatan seorang lagi saksi kejadian yang memakai sut menghubungi polis bagi melaporkan kejadian rompakan tersebut.

Sementara itu, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan bahawa memang terdapat rompakan di sebuah kedai di pusat beli-belah Westfield Century City.

Namun begitu, LAPD juga tidak dapat memberikan sebarang maklumat tentang jumlah barangan yang dicuri.

Perompak disyaki meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki sebuah SUV putih dan kereta Kia berwarna merah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram