[VIDEO] Enggan alih bot cetus pergaduhan besar di Alabama


  • Benua
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki bergaduh di Montgomery Riverfront Park pada Sabtu. — Agensi

BEBERAPA orang individu ditahan polis selepas terlibat dalam satu pergaduhan di kawasan tepi sungai Montgomery Riverfront Park dekat Alabama, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Pihak berkuasa Montgomery berkata, insiden pergaduhan itu berlaku pada pukul 7 petang melibatkan dua kumpulan yang berbeza.

"Beberapa orang lelaki kini berada dalam tahanan polis," katanya.

Sementara itu, beberapa video memaparkan video pergaduhan tersebut turut tular di laman media sosial pada Ahad.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus selepas seorang pengawal keselamatan meminta sekumpulan lelaki untuk mengalihkan bot mereka yang menghalang laluan sebuah bot lain, Harriott II Riverboat.

Malah ada yang turut mengaitkan pergaduhan berkenaan berunsur perkauman kerana ia melibatkan masyarakat kulit hitam dan kulit putih.

Melalui video yang dimuat naik di media sosial oleh wartawan politik Alabama, Josh Moon menunjukkan beberapa orang kulit putih memukul seorang lelaki kulit hitam.

Turut kedengaran suara salah seorang daripada kumpulan lelaki kulit putih tersebut memarahi pengawal keselamatan berkenaan sebelum mereka bertindak memukulnya.

Keadaan menjadi lebih tegang selepas beberapa orang awam lain yang melihat pergaduhan tersebut turut campur tangan sehingga berlakunya kekecohan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram