[VIDEO] 'Giveaway Playstation' bertukar huru-hara, Kai Cenat berdepan 2 pertuduhan


  • Benua
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Kai Cenat bakal berdepan dengan dua pertuduhan cuba mencetuskan rusuhan di Union Square New York City. — Agensi

PEMPENGARUH terkenal serta streamer Twitch, Kai Cenat berdepan dengan dua pertuduhan cuba mencetuskan rusuhan di Union Square New York City selepas pemberian hadiah PlayStation bertukar huru-hara pada Jumaat.

Memetik laporan media antarabangsa The Verge, terdahulu di platform X (Twitter), Cenat mengumumkan pemberian PS5 akan diadakan pada pukul 4 petang (waktu tempatan) Jumaat, tetapi orang ramai mula berkumpul di Union Square sekitar pukul 3 petang.

Susulan daripada itu, kejadian menjadi tidak terkawal ekoran daripada orang ramai yang mula membuat huru-hara di lokasi berkenaan.

Malah ada yang bertindak membaling objek sehingga polis terpaksa melakukan beberapa tangkapan.

Ketua Polis New York, Jeff Maddrey berkata, pegawai mengeluarkan Cenat dari tempat kejadian sebagai langkah perlindungan terhadapnya dan dia kini dalam tahanan susulan pihak berkuasa mempertimbangkan untuk mendakwanya kerana menghasut.

Sementara itu, ABC News melaporkan Cenat dibebaskan pada Sabtu selepas diikat jamin dan bakal dihadapkan di mahkamah pada 18 Ogos ini.

Cenat, 21, mempunyai kira-kira 6 juta pengikut Twitch dan juga menyiarkan kandungan komedi di YouTube, yang mana dia mempunyai lebih 4 juta pelanggan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram