[VIDEO] Matt Healy The 1975 masih tak 'move on', terus burukkan Malaysia di konsert Lollapalooza 2023


  • Massa
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Tangkap layar video kenyataan dibuat oleh Matty ketika membuat persembahan di konsert Lollapalooza 2023 di Chicago pada Sabtu.

VOKALIS kumpulan The 1975, Matty Healy dilihat masih tidak serik apabila dipercayai terus mempersendakan nama Malaysia selepas mencetuskan kontroversi di dalam negara pada acara muzik, Good Vibes Festival bulan lalu.

Perkara itu dilakukannya semasa membuat persembahan di konsert Lollapalooza 2023 di Chicago, Amerika Syarikat pada Sabtu apabila dia membuat satu kenyataan mengenai tip melancong sebelum mula mendendangkan sebuah lagu.

"Anda mahu tip melancong, jangan pergi ke..." katanya yang tidak sempat menghabiskan kata-katanya kerana ahli kumpulannya segera terus memainkan lagu hits mereka iaitu ‘It’s Not Living If It’s Not With You’.

Kenyataan yang dibuat sebagai sebahagian daripada gimik itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden dicetuskannya ketika membuat persembahan di Malaysia sehingga penganjur bertindak menghentikan persembahan kumpulannya.

Ia selepas Matty melanggar peraturan pertunjukan di Malaysia dengan merokok, minum minuman keras, meludah dan termasuk membuat perlakuan sumbang di atas pentas apabila bercium dengan pemain basis sama jantina, Ross MacDonald.

Pada masa sama, dia juga memperlekeh undang-undang Malaysia berkaitan pengharaman amalan gaya hidup hubungan sejenis, LGBT.

Susulan daripada itu, keempat-empat ahli The 1975 kini turut berhadapan dengan tindakan saman dan tuntutan kerugian daripada pihak yang terlibat dengan festival muzik tersebut termasuk penganjur, artis tempatan dan vendor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram